Assalamualaikum!

Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Monday, October 11, 2010

Ya Fattah Ya A'lim

Semasa saya di dalam perjalanan hendak ke dewan peperiksaan untuk menduduki peperiksaan SPM, seorang kakak penuntut matrikulasi (saya tak kenal pun, nama pun tak tahu, semoga dia dirahmati Allah kerana perkongsian ilmunya) telah menyapa dan berpesan bacalah zikir asma'ul husna Ya Fattah mudahan-mudahan adik mudah menjawab soalan. Alhamdulillah, dengan izin Allah soalan-soalan kelihatan jelas serta mudah difahami dan saya telah mendapat keputusan SPM yang baik tahun itu. Tercapailah cita-cita hendak menaiki kapal terbang dan bermain salji di rantau orang.

Semasa mengikuti kursus Haji pada 2004, tenaga pengajar kami, Ustaz Haji Ahmad Rosli Bin Mokhtar, telah memberi senarai zikir-zikir dan doa-doa untuk diamalkan terutama sewaktu menghadapi masalah dan dugaan di tanah suci Makkah. Salah satunya untuk mengelak daripada tersesat jalan ialah dengan membaca zikir Ya Fattah Ya A'lim yang membawa maksud Allah yang Maha Pembuka, Allah yang Maha Mengetahui. Alhamdulillah sehingga kini saya masih amalkan terutama ketika mencari jalan ke tempat yang saya belum pernah pergi atau bila rasa-rasa dah nak tersesat. Alhamdulillah, dengan izin Allah akan tiba-tiba ternampak papan tanda atau landmark. Berzikirlah dengan nama-nama Allah Ya Fattah Ya A'lim dengan penuh yakin dan harap kepada Allah s.w.t., insyaAllah Allah akan permudahkan.

"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu." - Tafsir surah Al-A'raf ayat 180.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat. Semuanya adalah atas izin dan perkenan Allah s.w.t..