Assalamualaikum!

Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Thursday, October 7, 2010

Hanya Kasih Sayang & Peluang Menuntut Ilmu Yang Mampu Ku Beri - Part 1

Allahyarham abahku pernah berkata, "Abah ni tak kaya, tak ada harta dan duit yang banyak nak bagi Ayong, hanya kasih sayang. Abah harap Ayong akan belajar bersungguh-sungguh, abah akan sokong sebab dengan ilmu kita akan dapat hidup yang lebih baik." Memang benar, apa yang diminta pasti akan cuba ditunaikan terutama jika kena-mengena dengan menuntut ilmu. Balik dari kerja abah akan meluangkan masa mengajar kami (aku dan adik) yang masih belum bersekolah tentang nombor, campur, tolak, darab dan bahagi. Buku hutang 555 merupakan buku tempat kami menyalin dan menghafal sifir 1 hingga 12. Aku juga dihantar ke kelas mengaji Al-Quran setiap petang. Kata abah kepadaku, "Amat rugi jika kita tidak boleh mengaji. Cuba khatam sebelum baligh sebab nanti malas bila dah mula bercuti."

"Pemilihan sekolah amat penting," kata abah. Aku didaftarkan di sekolah aliran Inggeris walaupun sekolah tersebut jauh dari rumah kami. Seawal pukul 6:15 pagi aku akan menaiki van ke sekolah. Walaupun hari masih gelap, aku telah pun berada di sekolah. Aku amat tidak menyukainya. Tidak sampai seminggu pun aku menaiki van, abah bersetuju menghantar aku ke sekolah setiap pagi dengan Lambretta birunya. Bertolak dari rumah jam 7:15 am dan aku mengambil kesempatan sewaktu perjalanan itu melihat pemandangan waktu pagi, menghirup udara segar, berangan, membaca papan-papan tanda dan belajar perkataan baru dan cara mengeja. Aku amat gembira.

Semasa ku di darjah satu dan dua, abah amat berminat bertukang. Selain membuat kabinet rumah, abah akan membuat kotak-kotak eksperimen sains untuk ku bawa ke sekolah. Ini sahaja sumbangan yang boleh abah beri untuk memudahkan pembelajaran kami di kelas. Guru Sains ku sangat gembira dan bersemangat mengajar kelas kami. "Amat penting menghormati dan membuat guru gembira," kata abah. Semasa di darjah tiga pula, aku menghadapi masalah dengan subjek Bahasa Inggeris, tambahan pula gurunya sangat garang. Pembaris kayu tidak pernah lekang daripada tangannya. Tiada siapa yang boleh membantu di rumah sebab emak dan abah tidak berapa mahir tatabahasa Inggeris. Abah telah berjumpa dengan penolong guru besar sekolah yang juga merupakan guru subjek itu dan menceritakan masalah ku. Entah apa yang abah cakap tetapi selepas habis waktu pertama subjek bahasa Inggeris dan murid-murid lain sedang membuat latihan di waktu kedua, aku dipanggil ke bilik guru dan diberi tunjuk ajar secara one to one.

Ketika di darjah lima, abah berhempas pulas untuk memastikan aku mendapat keputusan cemerlang. Dia sangat berharap aku dapat masuk ke sekolah berasrama penuh kerana di sana menempatkan kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan ramai kawan-kawan dan guru-guru dapat memberi tunjuk ajar. Tuisyen untuk subjek tingkatan amat memerlukan belanja yang besar dan dengan pendapatan abah yang sangat kecil akan  membebankan pula peruntukan pembelajaran adikku. Sebagai anak yang sulung, aku sentiasa dipesan untuk memberi contoh yang baik dengan harapan adik-adik ku akan lebih bersemangat dan mengatasi pencapaianku. Abah berhasrat menghantar ku ke kelas tuisyen untuk subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris tetapi tidak mampu. Setelah berbincang dengan guru tuisyen dan berkempen di pejabatnya, kelas berjaya dimulakan dengan enam pelajar di mana kos dikongsi bersama. Alhamdulillah aku berjaya mendapat 5A dan menyambung pelajaran ke MRSM.

Abahku sangat gigih memastikan hak menuntut ilmu anak-anaknya dipenuhi. Dia tidak kisah berhujan, berpanas, ke hulu, ke hilir, merayu di sana sini supaya anak-anaknya dapat belajar dengan selesa. Dia sentiasa menjadi tulang belakang ku di dalam apa jua keadaan. Abahku cukup marah jika alasan tidak mampu menyebabkan seorang anak tidak diberi peluang menuntut ilmu. Tidak ada alasan untuk seorang ayah menafikan hak belajar anaknya. Tingkatkan usaha dan sentiasa berbincang dengan mereka yang berkenaan supaya anak mendapat peluang belajar. Abahku sanggup merendahkan diri dan memohon rayuan bantuan kewangan supaya rakan adikku diberi peluang menyambung pelajaran. Sesuatu yang cukup menyakitkan hati, apabila seorang ayah mampu mengeluarkan asap berkepul-kepul daripada hidung dan mulutnya tetapi tidak sanggup mengeluarkan belanja dan peluh untuk pembelajaran anaknya.

bersambung ...