Assalamualaikum!

Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Wednesday, October 13, 2010

Senibong

Maaf entri hari ini (12/10/10) terlewat 14 minit untuk diterbitkan sebab hanya mula menaip selepas balik dari Senibong.

Malam ini merupakan malam kedua kami sekeluarga menginap di Dorsett Hotel Johor kerana mengikuti suamiku yang dikehendaki bertugas di Pasir Gudang selama dua hari. Setelah menghabiskan masa seharian di bilik hotel, aku mengajak suamiku untuk makan malam di tepi pantai Kampung Senibong. Banyak laman sesawang yang ku lawati menceritakan keenakan nasi lemak dan makanan laut Senibong. Ramai yang mencadangkan Restoran Malam Indah Selalu untuk merasai nasi lemak yang lazat dan Restoran 6 Corner jika ingin memesan makanan laut. Disebabkan suamiku tidak berminat untuk menjadikan nasi lemak sebagai hidangan makan malam maka kami memutuskan untuk mencuba Restoran 6 Corner.

Kedudukan Kg Senibong agak berdekatan dengan Dorsett Hotel, tetapi disebabkan terdapat kerja-kerja pembinaan lebuhraya berhampiran Jusco, maka kami terpaksa mengikut lencongan yang diarahkan menyebabkan sedikit pertambahan jarak untuk ke sana. Alhamdulillah banyak terdapat papan tanda yang memudahkan perjalanan kami. Bayaran untuk meletakkan kenderaan dikenakan sebanyak RM2.

Kami sampai di Restoran 6 Corner pada jam 9 pm dan memilih untuk duduk di ruang hujung anjung kayu, tetapi sayang air laut sedang surut dan tiada angin yang sudi membelai tudung dan rambut kami. Dari sini boleh dilihat pulau Singapura yang disinari dengan pelbagai warna cahaya lampu. Sepanjang berada di sini asyik terngiang-ngiang lagu Singapura Waktu Malam yang dinyanyikan oleh Allahyarham Saloma di dalam filem Labu Labi.

Di Senibong ini, kesemua restoran banyak menjual ketam bangkang/ nipah di mana jarang ku lihat dijual di restoran Melayu di negeri lain. Ketam ini berwarna hitam dan bersaiz besar. Ia hidup di paya bakau. Aku teringin nak merasa isinya tetapi suamiku kurang yakin. Akhirnya menu yang kami pilih ialah ketam bunga masak lada hitam, butter prawn (menu wajib anakku), asparagus goreng dan telur dadar (satu lagi menu wajib anakku). Harga ketam bunga ialah RM5/100g (kami ambil 2 ekor ~ 500+ gram) dan udang besar RM8/100g (12 ekor ~ 500+ gram). Ajaibnya udang tu bila dah siap dimasak jadi besarlah pulak (selalunya makanan laut lepas masak ia mengecil) dan terasa banyak sangat untuk kami tiga beranak. Alhamdulillah rasanya memang sedap dapat juga dihabiskan tetapi kemengahan akibat perut terlampau penuh. Nasi putihnya pun lazat, kami sekeluarga amat menyukainya (ini yang buat lagi penuh perut tu). Jumlah keseluruhan harga makan malam kami RM96. Suamiku kata agak mahal juga.

Seperti biasa dalam perjalanan balik ke kereta terdapat penjual-penjual barang mainan yang bercahaya dan berkelip-kelip. Suamiku membeli satu permainan lastik untuk anakku yang berharga RM3. Seronok bukan main dia, yang tadinya sudah mengantuk terus segar kembali seketika.

Foto diambil guna handphone je...

Mainan Lastik Bercahaya
Kepala Butter Prawn Je Tinggal
Singapura Waktu Malam