Assalamualaikum!

Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Thursday, April 28, 2011

Pelaburan Yang Mahal Tetapi Tidak Ternilai

Sewaktu aku mengandungkan kakak, aku berazam untuk membeli kamera video mini DV supaya dapat ku rakam langkah pertama kakak. Di zaman itu kamera video berharga dalam lingkungan RM 2500+ sebuah. Setelah mengumpul duit beberapa bulan sehinggalah kakak berumur 6 bulan barulah aku berani mengajak papa ke kedai kamera. Bukannya apa, papa seorang yang tidak suka membuat tinjauan (survey) dahulu, jika sudah ke kedai dan berbincang tentang harga harosss dibeli. Itu stail papa sejak mula ku berkahwin dengannya yang 180 darjah berbeza dengan aku. Kebetulan hari itu Panasonic sedang melancarkan model kamera video mini DV dengan keupayaan penyimpanan data dalam kad memori yang pertama di Malaysia. Aku berminat dengan model baru ini yang berwarna hitam berkilat tetapi sayang harganya RM 4000! Terlebih bajet sudah. Setelah berbincang dengan papa, kami sepakat membeli model di dalam lingkungan wang yang kami bawa iaitu sebuah Panasonic mini DV digital kamera video berwarna perak. Kalau ambil model terkini boleh sahaja tetapi terpaksa pula berhutang dengan cik Citi di mana akan melanggar prinsipku yang tidak gemar berhutang melainkan terpaksa seperti membeli kereta dan rumah.

Setelah teknologi berkembang pesat, mini DV semakin pupus. Aku menyuruh papa menukarkan semua gambar-gambar di dalam tape 8 mm itu ke CD atau DVD. Kami menghantar ke kedai tetapi hasil rakaman sangat tidak berkualiti serta harga yang dikenakan pun terlampau mahal. Projek tertangguh sehinggalah si baby lahir, dan video kamera mini DV kami telah pun rosak. Merata kami mencari untuk menukarkan gambar-gambar daripada mini DV ke DVD. Akhirnya kami berjumpa sebuah kedai di Seremban; mereka tidak menjual servis tetapi alatan. Papa kata mahal ni, tetapi bagiku kenangan manis tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Maka melaburlah kami...

Semalam kami menonton koleksi video kakak semasa kecil. Kakak tertawa dan berkata, "Adik ni macam kembar saya. Kalau umur kami rapat, orang mesti ingat mama ada anak kembar." Kakak juga sering tersasul, "Mama tengok adik tu buat muka comel," padahal itu adalah dia semasa bayi. Kami tertawa sehingga berair mata, riuh menonton video walaupun hanya kami tiga beranak. Kami juga tertawa pecah perut  melihat rakaman ibu ku yang sedang membuat aksi lucu. Ibuku seorang yang serius; balik kampung minggu ini aku hendak bertanya ibu apakah sebenarnya yang berlaku waktu itu. Di dalam hilai tawa tiba-tiba kakak berkata, "Lama dah saya tak dengar suara atuk," lantas menimbulkan kerinduan ku kepada Allahyarham abah. Semoga abah berbahagia di alam baru dan bersama sahabat para solihin. Kesimpulannya, memang berbaloi pelaburan ini.

Kepada sesiapa yang kenangan terindahnya masih tersimpan di dalam mini DV dan ingin menukarkan ke dalam DVD bolehlah hubungi suami saya di mzuhaimi@gmail.com .

Friday, April 1, 2011

Determined Baby

Alhamdulillah si baby telah berumur 4 bulan dan si kakak insyaAllah akan genap 9 tahun esok. Kali ini berkisah tentang si baby 4 bulan kami. Sewaktu balik ke kampung Ahad lepas, wan telah komplen pasal kepala cucunya, si baby, yang lonjong dan peheng akibat suka tidur kepala memaling ke kanan. Apabila balik ke rumah malam itu, aku sendalkan kepalanya dengan bantal bayi supaya tegak ke atas. Si baby pun menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tangannya mencuba untuk menguis bantal di sebelah kepalanya. Berjaya! Aku pun menggantikan pula dengan bantal yang lebih besar dan berat. Si baby mencuba lagi tetapi kali ini tidak berjaya. Apalagi dia pun mulalah menjerit-jerit menyuruh kami mengalihkan bantal itu. Aku pujuk, dia diam sebentar kemudian menangis semula. Dia tidak kenal erti putus asa, menyebabkan kami sukar untuk melelapkan mata. Akhirnya aku yang tewas, ku alihkan bantal tersebut dan barulah seisi rumah boleh tidur lena.

Kelmarin aku mendapat idea, disebabkan waktu malam si baby menyusu baring, aku mengesyorkan agar aku bertukar tempat tidur dengan papa. Malam itu aku tidur di sebelah kiri si baby dan papa di sebelah kanannya. Jika dia hendak menyusu dia harus mengiring ke kiri. Pada pukul 1:44 am si baby berbunyi mengejutkan aku untuk menyusukannya. Dia mengiring ke kanan dan aku menariknya dan memberitahu mama di sini. Dia pun membuka matanya besar. Dia mengiring ke arah ku kemudian mengiring semula mengadap papa. "Ha hei heiya hei hei jeghei ...., " dia bercakap dengan papa yang sedang nyenyak tidur sambil tangannya menepuk-nepuk muka papa. Lantas ku kejutkan papa, "Bang, bangun. Entah apa dia nak dengan you." Papa bingkas bangun dan melayan si baby bersembang. Mula-mula o.k., kemudian si baby mula meninggikan suaranya sebab papa tidak faham dan mulalah dia merengek hendak menangis. Dia memusing-musingkan badannya. Aku tariknya untuk menyusu dia tidak mahu. "Dia nak dukung kot," kataku. Papa mendukungnya tetapi dia menangis dan melonjak-lonjak. "Dia tak nak dukung," kata papa lantas meletakkan si baby kembali ke atas tilam. Si baby merengek-rengek sambil memusing-musingkan badannya. "Agaknya dia suruh I tukar tempat dengan you kot," papa memberi cadangan. Aku pun mengambil bantalku dan duduk di sebelah sana katil. "Aha ha hum," kata si baby dengan girang. Dia pun terus ke posisi kegemaran menyusunya iaitu mengiring ke kanan dan membuka mulutnya bak muncung anak burung. Aku pun baring dan menyusukannya. Aku dan papa tersengih dan menggelengkan kepala. "Very determine betul budak ni," kataku. Barulah kami dapat tidur lena sehingga jam 5 pagi apabila Naruto mula menjerit (bunyi alarm handphone papa) dan si baby pun terjaga semula hendak menyusu lagi.

Nampaknya kami tewas lagi. Mudah-mudahan apabila si baby sudah mula mobile dan melasak, kepalanya akan membulat cantik insyaAllah.