Assalamualaikum!
Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.
“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.
Friday, March 11, 2011
Kenapa Papa Sukar Mengejut Kakak Di Pagi Hari?
Lama sungguh tidak berkesempatan menulis blog hingga si kakak menyuruh saya menukar tajuk blog ini kepada satu bulan satu atau dua bulan satu. Tidak mengapalah , ia hanyalah nama dan insyaAllah apabila si baby semakin besar saya akan mampu untuk berkongsi sesuatu setiap hari semula.
Persoalan di atas selalu bermain di kotak fikiranku. Setiap kali aku meminta tolong papa mengejutkan kakak untuk bangun pagi ke sekolah mesti akan kedengaran suara bernada tinggi di pagi hari dan muka kakak yang mencuka. Ini tidak berlaku jika aku yang mengejutkan kakak daripada tidur. Pagi tadi aku meminta tolong papa sekali lagi sambil aku memerhatikan dari belakang. Papa berkata dengan suara yang kuat, "Kakak bangun, bangun pergi sekolah nanti lambat." Kakak tidak bergerak daripada tidurnya, mulalah papa menggunakan suara yang lebih lantang. Lantas ku berkata, "Usiklah badannya, goyang-goyangkan ke." Papa menurut sarananku dan mengulangi semula ayatnya tadi dengan suara lantang. Kakak pun bangun dengan muka mencuka.
Kebetulan pagi tadi di slot motivasi pagi radio IKIM, penceramah telah bercerita tentang gaya-gaya pembelajaran (learning styles). Kadang-kadang kita berasa kecewa (frust) apabila kita bercakap dengan seseorang seperti bercakap dengan dinding. Ini disebabkan kita menggunakan teknik berkomunikasi yang salah terhadap mereka. Terdapat 3 gaya pembelajaran (learning styles) iaitu visual (penglihatan), auditory (pendengaran) dan kinesthetic (sentuhan). Baru ku teringat aku pernah pelajarinya semasa kursus Train of Trainer. Menurut penceramah, kanak-kanak dan orang lelaki lebih dominan visual manakala orang tua lebih kinesthetic. Patutlah apabila kami menyuruh kakak membuat kerja sekolah, dia seperti tidak dengar apa yang kami cakap sebab dia lebih memahami jika dilakukan secara visual. Percakapan kami hanya merangsang auditory kakak sahaja dan visualnya telah dirangsang dengan isyarat yang salah oleh kami kerana sewaktu kami menyuruh kakak, kami sedang menonton televisyen. Selepas ini, kami berdua mesti memegang atau membaca buku dan baru menyuruh kakak membuat kerja sekolah. Kanak-kanak suka mengikut/ meniru apa yang dia lihat.
Berbalik kepada isu bangun pagi, papa hanya menggunakan auditory, dengan suara yang tegas dan lantang seolah-olah seperti marah serta menggunakan perkataan negatif iaitu lambat. Maka terjawablah sudah persoalanku. Kakak tidur maka kami tidak boleh merangsang visualnya dan auditorynya pula di tahap minima. Oleh itu untuk membangunkan kakak memerlukan sentuhan (kinesthetic) dan ucapan yang lembut serta positif. Aku biasanya mengejut kakak dengan menepuk-nepuk dan mengusap kakak sambil mengucapkan sayang dan menyuruhnya bangun cepat supaya pergi sekolah awal dan mengejar subuh. Mungkin papa boleh cuba semula esok ye! Sekarang baru ku tahu juga kenapa sekarang aku tidak mengantuk dan mudah faham ketika mendengar ceramah berbanding sewaktu ku di zaman persekolahan dahulu. Aku telah beransur-ansur berubah kepada auditory semakin usia menginjak dan pertukaran status kepada ibu. Untuk ibuku, maaf jika selama ini ibu mendengar bebelanku untuk ke klinik, makan ubat dan makan. Rupanya ibu memerlukan sentuhan, pegangan tangan untuk memujuk ke klinik, unjukan atau suapan untuk makan ubat dan pimpinan tangan serta teman untuk makan. Adik-adikku, kita selama ini yang salah dan semoga selepas ini kita akan cuba menjadi yang lebih baik. Papa jom kita gunakan teknik komunikasi yang positif dan letakkan yang sepatutnya di tempatnya. Anak-anakku apabila mama dan papa mu telah berumur, ingatlah kami juga memerlukan sentuhan kamu berdua semasa berkomunikasi.
Semoga kita bersama-sama berusaha dan berjaya berkomunikasi secara positif dan menggunakan style yang betul supaya kita tidak lagi bercakap kepada dinding yang hanya akan memenatkan diri dan berakhir dengan kekecewaan di kedua-dua belah pihak. Semoga Allah sentiasa memudahkan urusan kita di dunia dan di akhirat serta memimpin kita ke jalan yang lurus. Amin.
Thursday, October 14, 2010
Jangan Lambat Tau!
Pada satu petang, aku telah menunggu selama lebih setengah jam tetapi bayang abah masih tidak kelihatan. Rakan-rakan sekolah kebanyakannya telah beransur pulang. Aku mula berasa risau yang teramat sangat. Bermacam-macam perkara buruk bermain difikiranku. Air mataku mula mengalir di pipi. Akhirnya aku terlihat seorang lelaki yang sedang berpeluh-peluh menolak motornya di bawah pancaran matahari yang terik.
"Maaf Yong. Motor abah rosak," kata abah. "Kenapa tak hantar repair?" tanyaku. Balas abah,"Nanti lagi lambat. Ha, ini pun kamu dah menangis. Kamu naik, abah tolak."
"Tak nak. Malu nanti abah penat," jawabku. "Tak apa, naik je. Nanti kamu letih lagi leceh," jawab abah.
Itulah kasih seorang abah. Kadang-kadang bila aku nak buat benda-benda yang abah larang atau berlaku perselisihan faham antara kami, situasi ini akan menjelma semula dikotak fikiranku menyebabkan hatiku menjadi lembut kembali dan bertambah-tambah kasihku padanya. Aku tidak sampai hati untuk melukakan perasaannya.
Sehinggalah aku telah dewasa dan berumahtangga, abah akan memastikan aku tidak perlu menunggunya. Abah akan sentiasa berada 30 minit lebih awal dari masa yang dijanjikan, tidak kira dengan sesiapa pun. Jika aku ingin meminta abah menjemputku di lapangan terbang, aku akan memberitahunya masa ketibaan yang lewat 30 minit dari jadual supaya abahku tidak perlu menunggu lama. Sebaliknya aku pula yang dimarahi kerana memberitahu masa yang salah dan telah sampai lebih dulu daripada abah.
Abah cukup tidak suka orang menunggunya. Dia lebih suka menunggu orang. Dia akan sentiasa memastikan dia sampai awal setengah jam dari masa yang dijanjikan. Sayang sekali sikap menjaga masa yang diamal oleh abah tidak diwarisi kami adik-beradik. Kebiasaannya kami terlewat 30 minit dari masa yang dijanjikan. Mungkin sudah tiba masanya aku menjadi pewaris amalan abah yang baik ini. Mudah-mudahan Allah berikan Allahyarham abah hasanah atas setiap perbuatanku yang mencontohi sikap abah yang baik ini.
Anakku pula amat berbeza denganku. Setiap pagi dia berpesan, "Mama, ambil lambat sikit hari ni sebab saya nak main dengan kawan-kawan." Zaman sekarang ibu bapa teramat sibuk. Dari kecil anak-anak telah dilatih berdikari dan diberi kepercayaan yang tinggi oleh ibu bapa. Walaupun sessi persekolahan anakku tamat pada pukul 3:30 petang, kebanyakan rakan-rakannya akan tinggal di sekolah sehinggalah ibu bapa mereka datang menjemput setelah habis waktu pejabat. Zaman ku dahulu, setengah jam setelah tamat waktu persekolahan, kawasan sekolah pun sudah mulai lengang.
Thursday, October 7, 2010
Hanya Kasih Sayang & Peluang Menuntut Ilmu Yang Mampu Ku Beri - Part 2 of 2
Memang benar, ilmu menjana titik perubahan. Masyarakat berilmu membawa kesejahteraan. Mempunyai ilmu tidak sama dengan mempunyai maklumat. Sekarang ini zaman masyarakat bermaklumat. Semua maklumat boleh diperolehi di hujung jari tetapi sayang tidak dicernakan kesemuanya menjadi ilmu. Di topik petang IKIM.fm hari ini mendefinisikan bahawa ilmu ialah apabila data dan maklumat diperolehi dapat diterjemahkan kepada makna dan membawa kepada pembentukan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik. Ianya dapat diperolehi dengan meminta kepada pemilik ilmu, Allah yang Maha Agung, dan penglibatan secara aktif oleh orang yang mencari ilmu itu (bukan hanya suapan oleh guru tetapi komunikasi dua hala antara murid dan guru).
Kesalahan hari ini apabila menyuruh anak belajar pandai-pandai nanti boleh dapat gaji besar. Apabila anak-anak ini mendapat ijazah, mereka berasa kecewa kerana gaji yang diperolehi lebih kecil daripada kawan-kawan mereka yang menjadi artis, model dan ahli sukan.
Ilmu adalah cahaya yang bukan sahaja menerangi diri sendiri tetapi turut juga menerangi orang lain. Para cendikiawan dan ilmuwan, walaupun telah meninggal dunia ratusan/ ribuan tahun, ilmunya masih digunapakai sehingga kini. Nama mereka masih hidup walaupun jasad telah lama dimamah bumi.
Malang juga bila orang mengatakan ruginya belajar tinggi-tinggi tetapi terperuk menjadi surirumah sahaja. Ibu berilmu amat berbeza dengan yang tiada ilmu. Sewaktu menghadiri salah satu jamuan hari raya baru-baru ini, amat kagum melihat anak lelaki berusia tujuh tahun menconteng-conteng buku lognya dengan rajah-rajah dan flow chart. Rupa-rupanya ibunya berkelulusan Ijazah Sarjana (Masters) tetapi mengambil keputusan menjadi surirumah sepenuh masa.
Anak-anak selalunya ingin menyaingi (menjadi lebih baik) daripada ibu bapanya. Tetapi amat menghairankan apabila ibu bapa berkelulusan tinggi tetapi anak mempunyai motivasi yang rendah. Mungkin juga yang selalu dilihat adalah bibiknya. Menjadi lebih baik daripada bibik sudah mencukupi kerana tidak mahu menjadi seperti ibu bapa yang dirasakan terlalu sibuk dan tidak menarik.
Alhamdulillah, aku dan suamiku amat mencintai ilmu. Walaupun aku telah berhenti kerja lebih setahun yang lalu, setiap hari yang dilalui sentiasa diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk mempelajari sesuatu yang baru. Teringat sewaktu menuntut di CWRU, Ohio, kata-kata seorang Prof ku, tidak semestinya kita ambil jurusan ini kita akan bekerja di bidang ini. Jika sama, mungkin dia bernasib baik, tetapi tujuan utama kita di sini adalah untuk belajar berfikir. Tidak kira di mana kita ditempatkan, kita akan sentiasa boleh melakukan yang terbaik dan menjadi cemerlang kerana ilmu yang diperolehi (dia cakap dalam bahasa Inggeris la sebenarnya).
Sayang sekali ilmu tidak boleh diwarisi. Anak-anakku, apa yang mama dan papa mampu berikan adalah kasih sayang dan sokongan untuk kamu mencari ilmu setinggi yang mungkin. Mudah-mudahan Allah jadikan anak-anakku pencinta ilmu, dipermudahkan proses memperolehi ilmu dan mengecapi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Ingatlah anak-anakku, menuntut ilmu bukannya untuk mendapat kekayaan atau puji-pujian atau menunjuk kekuasaan dan kehebatan, tetapi supaya kita dapat memberi sumbangan kepada kehidupan.
Hanya Kasih Sayang & Peluang Menuntut Ilmu Yang Mampu Ku Beri - Part 1
"Pemilihan sekolah amat penting," kata abah. Aku didaftarkan di sekolah aliran Inggeris walaupun sekolah tersebut jauh dari rumah kami. Seawal pukul 6:15 pagi aku akan menaiki van ke sekolah. Walaupun hari masih gelap, aku telah pun berada di sekolah. Aku amat tidak menyukainya. Tidak sampai seminggu pun aku menaiki van, abah bersetuju menghantar aku ke sekolah setiap pagi dengan Lambretta birunya. Bertolak dari rumah jam 7:15 am dan aku mengambil kesempatan sewaktu perjalanan itu melihat pemandangan waktu pagi, menghirup udara segar, berangan, membaca papan-papan tanda dan belajar perkataan baru dan cara mengeja. Aku amat gembira.
Semasa ku di darjah satu dan dua, abah amat berminat bertukang. Selain membuat kabinet rumah, abah akan membuat kotak-kotak eksperimen sains untuk ku bawa ke sekolah. Ini sahaja sumbangan yang boleh abah beri untuk memudahkan pembelajaran kami di kelas. Guru Sains ku sangat gembira dan bersemangat mengajar kelas kami. "Amat penting menghormati dan membuat guru gembira," kata abah. Semasa di darjah tiga pula, aku menghadapi masalah dengan subjek Bahasa Inggeris, tambahan pula gurunya sangat garang. Pembaris kayu tidak pernah lekang daripada tangannya. Tiada siapa yang boleh membantu di rumah sebab emak dan abah tidak berapa mahir tatabahasa Inggeris. Abah telah berjumpa dengan penolong guru besar sekolah yang juga merupakan guru subjek itu dan menceritakan masalah ku. Entah apa yang abah cakap tetapi selepas habis waktu pertama subjek bahasa Inggeris dan murid-murid lain sedang membuat latihan di waktu kedua, aku dipanggil ke bilik guru dan diberi tunjuk ajar secara one to one.
Ketika di darjah lima, abah berhempas pulas untuk memastikan aku mendapat keputusan cemerlang. Dia sangat berharap aku dapat masuk ke sekolah berasrama penuh kerana di sana menempatkan kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan ramai kawan-kawan dan guru-guru dapat memberi tunjuk ajar. Tuisyen untuk subjek tingkatan amat memerlukan belanja yang besar dan dengan pendapatan abah yang sangat kecil akan membebankan pula peruntukan pembelajaran adikku. Sebagai anak yang sulung, aku sentiasa dipesan untuk memberi contoh yang baik dengan harapan adik-adik ku akan lebih bersemangat dan mengatasi pencapaianku. Abah berhasrat menghantar ku ke kelas tuisyen untuk subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris tetapi tidak mampu. Setelah berbincang dengan guru tuisyen dan berkempen di pejabatnya, kelas berjaya dimulakan dengan enam pelajar di mana kos dikongsi bersama. Alhamdulillah aku berjaya mendapat 5A dan menyambung pelajaran ke MRSM.
Abahku sangat gigih memastikan hak menuntut ilmu anak-anaknya dipenuhi. Dia tidak kisah berhujan, berpanas, ke hulu, ke hilir, merayu di sana sini supaya anak-anaknya dapat belajar dengan selesa. Dia sentiasa menjadi tulang belakang ku di dalam apa jua keadaan. Abahku cukup marah jika alasan tidak mampu menyebabkan seorang anak tidak diberi peluang menuntut ilmu. Tidak ada alasan untuk seorang ayah menafikan hak belajar anaknya. Tingkatkan usaha dan sentiasa berbincang dengan mereka yang berkenaan supaya anak mendapat peluang belajar. Abahku sanggup merendahkan diri dan memohon rayuan bantuan kewangan supaya rakan adikku diberi peluang menyambung pelajaran. Sesuatu yang cukup menyakitkan hati, apabila seorang ayah mampu mengeluarkan asap berkepul-kepul daripada hidung dan mulutnya tetapi tidak sanggup mengeluarkan belanja dan peluh untuk pembelajaran anaknya.