Assalamualaikum!
Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.
“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.
Thursday, October 7, 2010
Hanya Kasih Sayang & Peluang Menuntut Ilmu Yang Mampu Ku Beri - Part 2 of 2
Memang benar, ilmu menjana titik perubahan. Masyarakat berilmu membawa kesejahteraan. Mempunyai ilmu tidak sama dengan mempunyai maklumat. Sekarang ini zaman masyarakat bermaklumat. Semua maklumat boleh diperolehi di hujung jari tetapi sayang tidak dicernakan kesemuanya menjadi ilmu. Di topik petang IKIM.fm hari ini mendefinisikan bahawa ilmu ialah apabila data dan maklumat diperolehi dapat diterjemahkan kepada makna dan membawa kepada pembentukan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik. Ianya dapat diperolehi dengan meminta kepada pemilik ilmu, Allah yang Maha Agung, dan penglibatan secara aktif oleh orang yang mencari ilmu itu (bukan hanya suapan oleh guru tetapi komunikasi dua hala antara murid dan guru).
Kesalahan hari ini apabila menyuruh anak belajar pandai-pandai nanti boleh dapat gaji besar. Apabila anak-anak ini mendapat ijazah, mereka berasa kecewa kerana gaji yang diperolehi lebih kecil daripada kawan-kawan mereka yang menjadi artis, model dan ahli sukan.
Ilmu adalah cahaya yang bukan sahaja menerangi diri sendiri tetapi turut juga menerangi orang lain. Para cendikiawan dan ilmuwan, walaupun telah meninggal dunia ratusan/ ribuan tahun, ilmunya masih digunapakai sehingga kini. Nama mereka masih hidup walaupun jasad telah lama dimamah bumi.
Malang juga bila orang mengatakan ruginya belajar tinggi-tinggi tetapi terperuk menjadi surirumah sahaja. Ibu berilmu amat berbeza dengan yang tiada ilmu. Sewaktu menghadiri salah satu jamuan hari raya baru-baru ini, amat kagum melihat anak lelaki berusia tujuh tahun menconteng-conteng buku lognya dengan rajah-rajah dan flow chart. Rupa-rupanya ibunya berkelulusan Ijazah Sarjana (Masters) tetapi mengambil keputusan menjadi surirumah sepenuh masa.
Anak-anak selalunya ingin menyaingi (menjadi lebih baik) daripada ibu bapanya. Tetapi amat menghairankan apabila ibu bapa berkelulusan tinggi tetapi anak mempunyai motivasi yang rendah. Mungkin juga yang selalu dilihat adalah bibiknya. Menjadi lebih baik daripada bibik sudah mencukupi kerana tidak mahu menjadi seperti ibu bapa yang dirasakan terlalu sibuk dan tidak menarik.
Alhamdulillah, aku dan suamiku amat mencintai ilmu. Walaupun aku telah berhenti kerja lebih setahun yang lalu, setiap hari yang dilalui sentiasa diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk mempelajari sesuatu yang baru. Teringat sewaktu menuntut di CWRU, Ohio, kata-kata seorang Prof ku, tidak semestinya kita ambil jurusan ini kita akan bekerja di bidang ini. Jika sama, mungkin dia bernasib baik, tetapi tujuan utama kita di sini adalah untuk belajar berfikir. Tidak kira di mana kita ditempatkan, kita akan sentiasa boleh melakukan yang terbaik dan menjadi cemerlang kerana ilmu yang diperolehi (dia cakap dalam bahasa Inggeris la sebenarnya).
Sayang sekali ilmu tidak boleh diwarisi. Anak-anakku, apa yang mama dan papa mampu berikan adalah kasih sayang dan sokongan untuk kamu mencari ilmu setinggi yang mungkin. Mudah-mudahan Allah jadikan anak-anakku pencinta ilmu, dipermudahkan proses memperolehi ilmu dan mengecapi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Ingatlah anak-anakku, menuntut ilmu bukannya untuk mendapat kekayaan atau puji-pujian atau menunjuk kekuasaan dan kehebatan, tetapi supaya kita dapat memberi sumbangan kepada kehidupan.