Assalamualaikum!

Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Friday, October 8, 2010

Orang Yang B*d*h

Anakku cukup pantang kalau tersebut perkataan b*d*h, ianya telah diajar sejak di tadikanya lagi. Jika sesiapa tersebut b*d*h, dia akan menyuruh si penyebut bertaubat dan beristighfar. Sewaktu di darjah dua, dia telah mempelajari simpulan bahasa otak beku. Dia bercerita bahawa budak-budak lelaki kelasnya selalu mengusik seorang murid lelaki yang berbadan agak gempal dengan gelaran otak beku kerana dia selalu mendapat markah corot. Anakku berasa hairan dan bingung, “Mama, ada ke orang yang bi-o-di-o-hesh, otak beku?” 

“Kita tak boleh kata orang otak beku sebab semua manusia Allah telah berikan akal. Itulah kelebihan manusia daripada makhluk Allah yang lain. Jadi semua orang dilahirkan pandai kecuali pertama, orang yang malas tidak mahu menggunakan akal untuk membuat pilihan yang baik, dan kedua, orang yang bersikap sombong. Orang sombong adalah orang yang b*d*h sebab dia tidak mahu belajar dan diajar. Jadi kalau tak nak jadi orang yang b*d*h jangan jadi orang yang sombong,” jawabku. Harap-harap betullah jawapan yang ku beri, susah juga soalan anak-anak sekarang ini.

Semoga dengan penjelasan ini anakku akan mempunyai lebih keyakinan diri dan dapat memotivasikan rakan-rakannya yang lain. Ya Allah, peliharalah kami daripada sifat-sifat mazmumah terutama sifat sombong yang keji yang telah menyebabkan iblis bakal diazab di nerakaMu.

Baru-baru ini anakku bercerita lagi, “Mama, budak tu dah berubah, dia sekarang dapat markah tinggi. Betullah mama, dia bukannya otak beku tetapi sebenarnya malas. Dia dah tak malas dah sekarang, sikit-sikit je.”