Assalamualaikum!

Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Thursday, October 14, 2010

Jangan Lambat Tau!

Semenjak dari sekolah rendah aku memang pantang menunggu. Apabila selesai sessi persekolahan, abah mesti telah berada di luar pagar sekolah. Jika abahku terlewat datang ke sekolah untuk membawaku pulang, perasaan risau mula memuncak dan aku akan menangis. Bila nampak sahaja kelibat abah, aku akan mengamuk kerana kelewatannya yang hanya beberapa minit. Oleh itu setiap hari apabila sampai di sekolah aku akan berpesan pada abah, "Abah, jangan ambil Ayong lambat tau!"

Pada satu petang, aku telah menunggu selama lebih setengah jam tetapi bayang abah masih tidak kelihatan. Rakan-rakan sekolah kebanyakannya telah beransur pulang. Aku mula berasa risau yang teramat sangat. Bermacam-macam perkara buruk bermain difikiranku. Air mataku mula mengalir di pipi. Akhirnya aku terlihat seorang lelaki yang sedang berpeluh-peluh menolak motornya di bawah pancaran matahari yang terik.

 "Maaf Yong. Motor abah rosak," kata abah. "Kenapa tak hantar repair?" tanyaku. Balas abah,"Nanti lagi lambat. Ha, ini pun kamu dah menangis. Kamu naik, abah tolak."
"Tak nak. Malu nanti abah penat," jawabku. "Tak apa, naik je. Nanti kamu letih lagi leceh," jawab abah.

Itulah kasih seorang abah. Kadang-kadang bila aku nak buat benda-benda yang abah larang atau berlaku perselisihan faham antara kami, situasi ini akan menjelma semula dikotak fikiranku menyebabkan hatiku menjadi lembut kembali dan bertambah-tambah kasihku padanya. Aku tidak sampai hati untuk melukakan perasaannya.

Sehinggalah aku telah dewasa dan berumahtangga, abah akan memastikan aku tidak perlu menunggunya. Abah akan sentiasa berada 30 minit lebih awal dari masa yang dijanjikan, tidak kira dengan sesiapa pun. Jika aku ingin meminta abah menjemputku di lapangan terbang, aku akan memberitahunya masa ketibaan yang lewat 30 minit dari jadual supaya abahku tidak perlu menunggu lama. Sebaliknya aku pula yang dimarahi kerana memberitahu masa yang salah dan telah sampai lebih dulu daripada abah.

Abah cukup tidak suka orang menunggunya. Dia lebih suka menunggu orang. Dia akan sentiasa memastikan dia sampai awal setengah jam dari masa yang dijanjikan. Sayang sekali sikap menjaga masa yang diamal oleh abah tidak diwarisi kami adik-beradik. Kebiasaannya kami terlewat 30 minit dari masa yang dijanjikan. Mungkin sudah tiba masanya aku menjadi pewaris amalan abah yang baik ini. Mudah-mudahan Allah berikan Allahyarham abah hasanah atas setiap perbuatanku yang mencontohi sikap abah yang baik ini.

Anakku pula amat berbeza denganku. Setiap pagi dia berpesan, "Mama, ambil lambat sikit hari ni sebab saya nak main dengan kawan-kawan." Zaman sekarang ibu bapa teramat sibuk. Dari kecil anak-anak telah dilatih berdikari dan diberi kepercayaan yang tinggi oleh ibu bapa. Walaupun sessi persekolahan anakku tamat pada pukul 3:30 petang, kebanyakan rakan-rakannya akan tinggal di sekolah sehinggalah ibu bapa mereka datang menjemput setelah habis waktu pejabat. Zaman ku dahulu, setengah jam setelah tamat waktu persekolahan, kawasan sekolah pun sudah mulai lengang.