Assalamualaikum!

Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Friday, March 11, 2011

Kenapa Papa Sukar Mengejut Kakak Di Pagi Hari?

Bismillah...
Lama sungguh tidak berkesempatan menulis blog hingga si kakak menyuruh saya menukar tajuk blog ini kepada satu bulan satu atau dua bulan satu. Tidak mengapalah , ia hanyalah nama dan insyaAllah apabila si baby semakin besar saya akan mampu untuk berkongsi sesuatu setiap hari semula. 

Persoalan di atas selalu bermain di kotak fikiranku. Setiap kali aku meminta tolong papa mengejutkan kakak untuk bangun pagi ke sekolah mesti akan kedengaran suara bernada tinggi di pagi hari dan muka kakak yang mencuka. Ini tidak berlaku jika aku yang mengejutkan kakak daripada tidur. Pagi tadi aku meminta tolong papa sekali lagi sambil aku memerhatikan dari belakang. Papa berkata dengan suara yang kuat, "Kakak bangun, bangun pergi sekolah nanti lambat." Kakak tidak bergerak daripada tidurnya, mulalah papa menggunakan suara yang lebih lantang. Lantas ku berkata, "Usiklah badannya, goyang-goyangkan ke." Papa menurut sarananku dan mengulangi semula ayatnya tadi dengan suara lantang. Kakak pun bangun dengan muka mencuka.

Kebetulan pagi tadi di slot motivasi pagi radio IKIM, penceramah telah bercerita tentang gaya-gaya pembelajaran (learning styles). Kadang-kadang kita berasa kecewa (frust) apabila kita bercakap dengan seseorang seperti bercakap dengan dinding. Ini disebabkan kita menggunakan teknik berkomunikasi yang salah terhadap mereka. Terdapat 3 gaya pembelajaran (learning styles) iaitu visual (penglihatan), auditory (pendengaran) dan kinesthetic (sentuhan). Baru ku teringat aku pernah pelajarinya semasa kursus Train of Trainer. Menurut penceramah, kanak-kanak dan orang lelaki lebih dominan visual manakala orang tua lebih kinesthetic. Patutlah apabila kami menyuruh kakak membuat kerja sekolah, dia seperti tidak dengar apa yang kami cakap sebab dia lebih memahami jika dilakukan secara visual. Percakapan kami hanya merangsang auditory kakak sahaja dan visualnya telah dirangsang dengan isyarat yang salah oleh kami kerana sewaktu kami menyuruh kakak, kami sedang menonton televisyen. Selepas ini, kami berdua mesti memegang atau membaca buku dan baru menyuruh kakak membuat kerja sekolah. Kanak-kanak suka mengikut/ meniru apa yang dia lihat.

Berbalik kepada isu bangun pagi, papa hanya menggunakan auditory, dengan suara yang tegas dan lantang seolah-olah seperti marah serta menggunakan perkataan negatif iaitu lambat. Maka terjawablah sudah persoalanku. Kakak tidur maka kami tidak boleh merangsang visualnya dan auditorynya pula di tahap minima. Oleh itu untuk membangunkan kakak memerlukan sentuhan (kinesthetic) dan ucapan yang lembut serta positif. Aku biasanya mengejut kakak dengan menepuk-nepuk dan mengusap kakak sambil mengucapkan sayang dan menyuruhnya bangun cepat supaya pergi sekolah awal dan mengejar subuh. Mungkin papa boleh cuba semula esok ye! Sekarang baru ku tahu juga kenapa sekarang aku tidak mengantuk dan mudah faham ketika mendengar ceramah berbanding sewaktu ku di zaman persekolahan dahulu. Aku telah beransur-ansur berubah kepada auditory semakin usia menginjak dan pertukaran status kepada ibu. Untuk ibuku, maaf jika selama ini ibu mendengar bebelanku untuk ke klinik, makan ubat dan makan. Rupanya ibu memerlukan sentuhan, pegangan tangan untuk memujuk ke klinik, unjukan atau suapan untuk makan ubat dan pimpinan tangan serta teman untuk makan. Adik-adikku, kita selama ini yang salah dan semoga  selepas ini kita akan cuba menjadi yang lebih baik. Papa jom kita gunakan teknik komunikasi yang positif dan letakkan yang sepatutnya di tempatnya. Anak-anakku apabila mama dan papa mu telah berumur, ingatlah kami juga memerlukan sentuhan kamu berdua semasa berkomunikasi.

Semoga kita bersama-sama berusaha dan berjaya berkomunikasi secara positif dan menggunakan style yang betul supaya kita tidak lagi bercakap kepada dinding yang hanya akan memenatkan diri dan berakhir dengan kekecewaan di kedua-dua belah pihak. Semoga Allah sentiasa memudahkan urusan kita di dunia dan di akhirat serta memimpin kita ke jalan yang lurus. Amin.