Bismillah.
Bersempena mood cuti sekolah, ku ingin berkongsi tempat-tempat yang pernah kami sekeluarga kunjungi semoga dapat mencetus idea memilih destinasi dan menjadi panduan kita bersama.
Acapkali ku usul lawatan ke Taman Negara Pahang mesti ditolak oleh papa kerana perjalanan menaiki bot kecil yang memakan masa lebih kurang 3 jam dari Kuala Tembeling dan harga pakej yang dipromosikan agak mahal. Setelah ku selidiki bahawa boleh berkereta ke Kuala Tahan dan tidak perlu booking pakej maka akhirnya pada cuti sekolah Mac 2010 kami telah berjaya menjejakkan kaki di Taman Negara.
Bila melancong bersama anak kecil terutama ke tempat terpencil ini, bekalan wajibku ialah ubat demam, jangkasuhu, Kool Fever dan peti pertolongan cemas perlu dibawa. Aku turut membeli mosquito patch (alhamdulillah masa kami pergi tiada nyamuk dan pacat), air mineral 500ml satu kotak (sudah pasti air mineral kegemaranku yang punca mata airnya dari Kampung Sompo), roti bun Gardenia, Twiggies, coklat (sebagai bekalan tenaga segera), lampu suluh seorang satu dan semestinya kameraku.
Di dalam perjalanan kami singgah sebentar di Jerantut, bandar terakhir sebelum ke Taman Negara, untuk mengisi minyak kereta dan membeli kudapan. Kami tiba di destinasi lebih kurang jam 1 petang. Kami menginap di Rainforest Resort yang terletak di Kampung Kuala Tahan. Tempatnya bersih dan selesa serta harga biliknya masih di dalam lingkungan bajet kami iaitu sebanyak RM158nett satu malam termasuk sarapan pagi untuk dua orang. Harga tersebut adalah untuk sebuah bilik superior yang mengandungi 1 katil queen dan 1 katil single, cukup untuk memuatkan papa, aku, kakak dan adikku yang bongsu dengan selesa. Cuma resort ini terletak beberapa ratus meter jauh sedikit dari jeti Kuala Tahan. Boleh menaiki kereta ke jeti tetapi kakak lebih suka berjalan kaki sambil meninjau kawasan kampung. Setelah selesai urusan check in kami terus menuju ke kawasan jeti untuk mengisi perut yang berkeroncong. Makan di atas gerai terapung yang dibuai arus sungai Tembeling sambil muka dibelai bayu sungguh menyelerakan. Harga makanan amat berpatutan dan jangan lupa mencuba masakan ikan sungai yang enak.
Selepas menjamu selera, kami ke pondok Tourist Information dan di situ kami memborong pakej aktiviti di Taman Negara untuk mengisi tiga hari kami di sini, kecuali Canopy Walk kerana kami hendak pergi sendiri tanpa mengupah pemandu pelancong. Bayaran yang dikenakan bergantung kepada aktiviti yang dipilih dan harga terendah ialah dari RM15 seorang. Disebabkan kami memborong 4 aktiviti iaitu melawat perkampungan orang asli, night jungle walk, Lata Berkoh serta Kelah Sanctuary, dan rapid shooting maka dapatlah diskaun sedikit. Kebanyakan aktiviti bermula dari jam 9 pagi dan 3 petang kecuali aktiviti malam yang bermula dari jam 8:30 pm.
Dari Kuala Tahan ke Taman Negara, kami perlu menyeberangi sungai Tembeling dengan menaiki bot kecil yang di ambil dari kedai makan di situ dengan bayaran RM1 hala pergi manakala hala balik adalah percuma. Setiap pengunjung perlu mengambil permit di Jabatan Perhilitan di sini untuk masuk ke Taman Negara. Bayaran dikenakan adalah RM1 seorang dan RM5 untuk kamera.
Kesimpulannya kami sangat enjoy berada di sini terutama kakak walaupun banyak aktiviti fizikal dan memerlukan stamina yang tinggi. Kagumku melihat kakak begitu bersemangat dan mampu jungle trekking sehingga 5 km sehari dan memanjat anak-anak tangga sehingga ke kaki titian kanopi. Kakak juga sangat berani menyeberangi titian yang tinggi dan bergoyang-goyang. Keseronokan menaiki bot, rapid shooting, mandi di sungai Tahan dan sungai Tembeling, menghirup udara segar hutan waktu dinihari serta menyaksikan langit malam yang sarat dengan bintang bergemerlapan menyebabkan hati kami rindu melonjak-lonjak ingin kembali. Nampaknya perlulah bersabar sehingga baby boleh berlari.
Peta Taman Negara Pahang dari://www.endemicguides.com/MAP/Kuala_Tahan.htm
Rainforest Resort.
Senarai aktiviti yang terdapat di sini.
Kuala Tahan.
Pengangkutan utama di sini.
Lawatan ke perkampungan orang asli kaum Bateq.
Kakak begitu seronok berjalan di malam gelap dari hotel menuju ke jeti untuk aktiviti night jungle walk. Sesuatu yang di luar kebiasaan - mengatur langkah di malam yang gelap, mendengar irama hutan serta menyaksikan serangga dan haiwan kecil yang aktif di waktu malam. Ketika berhenti di Bumbun Tahan seram juga melihat mata-mata bersinar bila disuluh tetapi kurang jelas jenis haiwan yang berselindung.
Jungle trekking ke Titian Kanopi. Boleh juga manaiki bot sehingga ke jeti kanopi tetapi masih perlu mendaki anak-anak tangga sehingga ke tapak pendaftaran.
Menyusuri Sungai Tahan ke Lata Berkoh yang menyajikan pemandangan yang amat menenangkan dan menakjubkan. Subhanallah!
Untuk ke Lata Berkoh perlu trekking lagi dalam 700m. Laluan agak mencabar dan perlu berhati-hati memanjat dan menuruni bongkah batu. Sepanjang laluan bingit telinga mendengar suara reriang. Air Lata Berkoh sangat sejuk dan deras. Ada bahagian yang sangat dalam serta dipenuhi batu-batu licin. Bagiku tidak sesuai untuk anak-anak kecil. Kami mandi di belakang lata di kawasan air yang agak tenang. Alhamdulillah semuanya selamat.
Tidak perlu risau bila perut sudah menyanyi, terdapat beberapa kedai makan terapung di sini. Menu masakan barat pun boleh didapati. Lihat gerai satay pun ada.
Rapid shooting sangat mengujakan dan memang akan basah lenjun. Setelah itu kami dibawa untuk mandi-manda di sungai yang kecil berair jernih berhampiran Nusa Camp. Kemudian kami meminta pula untuk mandi di Sungai Tembeling di kawasan berhampiran orang asli yang kami tengok tempoh hari. Mandi di Sungai Tembeling lebih seronok dan puas. Sungainya dalam seakan berombak sesuatu yang jarang dapat dirasai di kawasan perkelahan sekitar K.L.
Semoga bertemu kembali!
Sekian dulu, wassalam.