Abahku cuma berkesempatan untuk bermain dengan cucu pertamanya sahaja. Beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia, sewaktu berjalan-jalan makan angin menaiki keretaku, dia berpesan kepadaku dan suami supaya mendaftar anak kami yang masa itu baru nak masuk 4 tahun ke sekolah swasta bila masuk darjah satu. "Pemilihan sekolah sangat penting," ulanginya. "Abah dulu tidak mampu. Kamu anak seorang mesti boleh cari yang terbaik untuk anak kamu."
Memang benar, ilmu menjana titik perubahan. Masyarakat berilmu membawa kesejahteraan. Mempunyai ilmu tidak sama dengan mempunyai maklumat. Sekarang ini zaman masyarakat bermaklumat. Semua maklumat boleh diperolehi di hujung jari tetapi sayang tidak dicernakan kesemuanya menjadi ilmu. Di topik petang IKIM.fm hari ini mendefinisikan bahawa ilmu ialah apabila data dan maklumat diperolehi dapat diterjemahkan kepada makna dan membawa kepada pembentukan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik. Ianya dapat diperolehi dengan meminta kepada pemilik ilmu, Allah yang Maha Agung, dan penglibatan secara aktif oleh orang yang mencari ilmu itu (bukan hanya suapan oleh guru tetapi komunikasi dua hala antara murid dan guru).
Kesalahan hari ini apabila menyuruh anak belajar pandai-pandai nanti boleh dapat gaji besar. Apabila anak-anak ini mendapat ijazah, mereka berasa kecewa kerana gaji yang diperolehi lebih kecil daripada kawan-kawan mereka yang menjadi artis, model dan ahli sukan.
Ilmu adalah cahaya yang bukan sahaja menerangi diri sendiri tetapi turut juga menerangi orang lain. Para cendikiawan dan ilmuwan, walaupun telah meninggal dunia ratusan/ ribuan tahun, ilmunya masih digunapakai sehingga kini. Nama mereka masih hidup walaupun jasad telah lama dimamah bumi.
Malang juga bila orang mengatakan ruginya belajar tinggi-tinggi tetapi terperuk menjadi surirumah sahaja. Ibu berilmu amat berbeza dengan yang tiada ilmu. Sewaktu menghadiri salah satu jamuan hari raya baru-baru ini, amat kagum melihat anak lelaki berusia tujuh tahun menconteng-conteng buku lognya dengan rajah-rajah dan
flow chart. Rupa-rupanya ibunya berkelulusan Ijazah Sarjana (
Masters) tetapi mengambil keputusan menjadi surirumah sepenuh masa.
Anak-anak selalunya ingin menyaingi (menjadi lebih baik) daripada ibu bapanya. Tetapi amat menghairankan apabila ibu bapa berkelulusan tinggi tetapi anak mempunyai motivasi yang rendah. Mungkin juga yang selalu dilihat adalah bibiknya. Menjadi lebih baik daripada bibik sudah mencukupi kerana tidak mahu menjadi seperti ibu bapa yang dirasakan terlalu sibuk dan tidak menarik.
Alhamdulillah, aku dan suamiku amat mencintai ilmu. Walaupun aku telah berhenti kerja lebih setahun yang lalu, setiap hari yang dilalui sentiasa diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk mempelajari sesuatu yang baru. Teringat sewaktu menuntut di CWRU, Ohio, kata-kata seorang Prof ku, tidak semestinya kita ambil jurusan ini kita akan bekerja di bidang ini. Jika sama, mungkin dia bernasib baik, tetapi tujuan utama kita di sini adalah untuk belajar berfikir. Tidak kira di mana kita ditempatkan, kita akan sentiasa boleh melakukan yang terbaik dan menjadi cemerlang kerana ilmu yang diperolehi (dia cakap dalam bahasa Inggeris la sebenarnya).
Sayang sekali ilmu tidak boleh diwarisi.
Anak-anakku, apa yang
mama dan papa mampu berikan adalah
kasih sayang dan sokongan untuk kamu mencari ilmu setinggi yang mungkin. Mudah-mudahan Allah jadikan anak-anakku pencinta ilmu, dipermudahkan proses memperolehi ilmu dan mengecapi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Ingatlah
anak-anakku, menuntut ilmu bukannya untuk mendapat kekayaan atau puji-pujian atau menunjuk kekuasaan dan kehebatan, tetapi
supaya kita dapat memberi sumbangan kepada kehidupan.