Assalamualaikum!
Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.
“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.
Friday, October 29, 2010
Hobi Baru ... 'Crochet'
Hasil kerja tangan pertama - but bayi:
Anak perempuanku pula minta mama kaitkan selimut untuknya.Warna untuk selimut ini dia yang pilih sendiri. Dia hendak belajar mengait semasa cuti sekolah nanti. Inilah selimut yang masih lagi dalam proses pembuatan:
Disebabkan susah hendak mendapat jarum kait yang sesuai dan benang kait daripada kapas, saya telah terjumpa laman ini untuk memesan barangan yang diperlukan untuk mengait:
http://www.cottonhousestore.com/
Kepada sesiapa yang berminat untuk belajar crochet, silalah lawati laman ini:
http://kaitmengait.blogspot.com/
http://knitwitch.com/crochet videos.htm
You Tube video by mikeyssmail pun amat mudah diikuti.
Selamat mencuba! Semoga berjaya menambah ilmu baru.
Thursday, October 28, 2010
Kedai Makan Di Port Dickson
Disebabkan tiada kemudahan memasak di penginapan kami, maka kami akan menghabiskan masa meronda-ronda bandar Port Dickson untuk mengisi perut yang sentiasa berkeroncong. Amat sukar mencari kedai makan yang memenuhi selera kami di sini. Jika berkunjung ke Port Dickson, saya mengesyorkan dua restoran ini yang berjaya memikat citarasa saya. Selain menyajikan makanan yang enak dan pelbagai jenis, harganya juga berpatutan, servisnya pun cekap dan kedai yang bersih.
Tempat pertama: Nasreen Seafood (Songkhla)
Walaupun masa kami datang pihak tentera tengah mengadakan majlis perpisahan untuk staffnya (book separuh restoran), servis masih cekap dan pantas.
Tempat kedua: Restoran Jimat
Keduanya terletak berhampiran antara satu sama lain, di kawasan Batu 8, Jalan Pantai, Teluk Kemang.
Untuk makan tengah hari pula, jika berminat kari kepala ikan, Restoran Kari Kepala Ikan Deen pasti akan menyebabkan saya kembali lagi ke Port Dickson. Restoran ini terletak di tengah bandar Port Dickson di bawah pokok besar.
Semoga perkongsian ini memudahkan pencarian restoran di Port Dickson. Tidaklah seperti kami yang banyak kali juga terkecewa di kedai makan walaupun saya sebenarnya tidak berapa cerewet bab makan ni.
Friday, October 15, 2010
Doa Semoga Orang Berasa Kasih Pada Zuriat Kita
Apabila kita hendak meninggalkan zuriat kita, umpamanya di sekolah atau di rumah penjaga dan di mana-mana sahaja, bacalah doa ini. Mudah-mudahan dengan mengamalkan doa ini, orang akan berasa lapang dan kasih pada zuriat kita dan tidak timbul perasaan hasad dengki.
Maksudnya:
Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.
Semoga Allah makbulkan doa kita dan mempermudahkan kehidupan zuriat keturunan kita.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kita bersama.
Thursday, October 14, 2010
Jangan Lambat Tau!
Pada satu petang, aku telah menunggu selama lebih setengah jam tetapi bayang abah masih tidak kelihatan. Rakan-rakan sekolah kebanyakannya telah beransur pulang. Aku mula berasa risau yang teramat sangat. Bermacam-macam perkara buruk bermain difikiranku. Air mataku mula mengalir di pipi. Akhirnya aku terlihat seorang lelaki yang sedang berpeluh-peluh menolak motornya di bawah pancaran matahari yang terik.
"Maaf Yong. Motor abah rosak," kata abah. "Kenapa tak hantar repair?" tanyaku. Balas abah,"Nanti lagi lambat. Ha, ini pun kamu dah menangis. Kamu naik, abah tolak."
"Tak nak. Malu nanti abah penat," jawabku. "Tak apa, naik je. Nanti kamu letih lagi leceh," jawab abah.
Itulah kasih seorang abah. Kadang-kadang bila aku nak buat benda-benda yang abah larang atau berlaku perselisihan faham antara kami, situasi ini akan menjelma semula dikotak fikiranku menyebabkan hatiku menjadi lembut kembali dan bertambah-tambah kasihku padanya. Aku tidak sampai hati untuk melukakan perasaannya.
Sehinggalah aku telah dewasa dan berumahtangga, abah akan memastikan aku tidak perlu menunggunya. Abah akan sentiasa berada 30 minit lebih awal dari masa yang dijanjikan, tidak kira dengan sesiapa pun. Jika aku ingin meminta abah menjemputku di lapangan terbang, aku akan memberitahunya masa ketibaan yang lewat 30 minit dari jadual supaya abahku tidak perlu menunggu lama. Sebaliknya aku pula yang dimarahi kerana memberitahu masa yang salah dan telah sampai lebih dulu daripada abah.
Abah cukup tidak suka orang menunggunya. Dia lebih suka menunggu orang. Dia akan sentiasa memastikan dia sampai awal setengah jam dari masa yang dijanjikan. Sayang sekali sikap menjaga masa yang diamal oleh abah tidak diwarisi kami adik-beradik. Kebiasaannya kami terlewat 30 minit dari masa yang dijanjikan. Mungkin sudah tiba masanya aku menjadi pewaris amalan abah yang baik ini. Mudah-mudahan Allah berikan Allahyarham abah hasanah atas setiap perbuatanku yang mencontohi sikap abah yang baik ini.
Anakku pula amat berbeza denganku. Setiap pagi dia berpesan, "Mama, ambil lambat sikit hari ni sebab saya nak main dengan kawan-kawan." Zaman sekarang ibu bapa teramat sibuk. Dari kecil anak-anak telah dilatih berdikari dan diberi kepercayaan yang tinggi oleh ibu bapa. Walaupun sessi persekolahan anakku tamat pada pukul 3:30 petang, kebanyakan rakan-rakannya akan tinggal di sekolah sehinggalah ibu bapa mereka datang menjemput setelah habis waktu pejabat. Zaman ku dahulu, setengah jam setelah tamat waktu persekolahan, kawasan sekolah pun sudah mulai lengang.
Wednesday, October 13, 2010
Main Hujan
"Mama, mama, best tau hari ini. Saya dapat main hujan.", katanya dengan penuh teruja.
"Ya Allah, kenapa main hujan?", tanyaku dengan nada terkejut.
Anakku tergamam melihat reaksiku, "Kenapa? Tak boleh ke? Air hujan tu kan air mutlak. Boleh guna untuk minum dan ambil wudhu."
Aku tersenyum tak terkata apa. Semasa aku masih kanak-kanak lagi, aku telah diajar tidak boleh main hujan nanti takut demam, walhal tidak ada pun bukti saintifik yang mengatakan hujan penyebab demam. Ajaran ini seperti telah sebati dengan diriku. Puas ku berfikir untuk menjawab persoalan anakku. Akhirnya, "Memang betul air hujan air mutlak. Cuma mama risau sebab selalunya kalau hari hujan ada guruh dan kilat. Itu yang bahaya, mama tak bagi main hujan."
Sehingga ke hari ini kami masih membiarkan anakku dengan fahaman hujan air mutlak. Ibuku, iaitu neneknya, dan ibu -ibu saudaranya pun sudah menerima fahaman ini. Tiada lagi kerisauan di hati mereka jika anakku terkena hujan.
