Assalamualaikum!

Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Saturday, January 8, 2011

Sekarang Baru Ku Tahu...

Alhamdulillah saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 29 November 2010. Syukur pada Mu ya Allah kerana dengan rahmatMu telah mengurniakan kami sepasang cahaya mata. Hari ini merupakan hari ke-40 saya berpantang, tinggal 4 hari je lagi nak merdeka... yeaaa!

Berbalik kepada topik...

  1. Sekarang baru ku tahu kenapa kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibu adalah najis mukhaffafah. Untuk makluman, adik-beradik saya kesemuanya perempuan; anak pertama saya juga perempuan. Masa saya remaja dahulu, sangat tidak berpuas hati kenapa kencing bayi lelaki sahaja, apa bezanya dengan kencing bayi perempuan. Setelah melahirkan anak lelaki ini, baru saya tahu jawapannya. Bayi lelaki kencing bersepah/ memancut tinggi. Keberangkalian najisnya berterabur ke merata tempat sangat besar. Syukur pada Mu ya Allah yang Maha Bijaksana, dengan kemudahan yang Engkau berikan memudahkan saya mencuci najis yang bersepah ini hanya dengan renjisan air.

  2. Sekarang baru ku tahu kenapa aurat sesama wanita antara pusat dan lutut, bukankah yang lagi satu pun malu jugak. Setelah lama tidak menyusukan bayi, saya amat-amat memerlukan bantuan dan tunjuk ajar. Tunjuk ajar juga diperlukan untuk menggunakan pam susu. Alhamdulillah pada Mu ya Allah yang Maha Adil dan sentiasa memudahkan hambaNya di dalam urusan dunia.

  3. Teringat semasa di Masjidil Haram ketika menunggu masuknya waktu Isyak. Melihat kebanjiran manusia pelbagai bangsa dan rupa dari seluruh pelusuk dunia menyebabkan saya bertanya pada emak di sisi, "Kenapa Allah jadikan macam-macam orang ni?" "Entah," balas emak. Lantas aku menyambung kembali membaca tafsir Al-Quran, "Ha! Cepat dah dapat jawapannya mak," kataku. Kebetulan saya berhenti pada ayat 12 surah Al-Hujraat untuk bertanya soalan sebelum menyambung kembali ayat 13 surah tersebut:

    يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

    Maksudnya:
    Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

    Sekarang baru ku tahu jawapannya. Semua bangsa mempunyai keistimewaannya. Kita patut mengambil kesempatan untuk saling mengenali. Gabungan kehebatan yang Allah kurniakan pada setiap kaum akan menjadikan masyarakat yang makmur dan ummah yang kuat.

  4. Sekarang baru ku tahu kenapa kain samping sangat penting pada lelaki Melayu dulu-dulu. Jawapannya kerana ....... Baru tahu lepas tonton salah satu filem hitam putih kalau tak salah filem P. Ramlee.
Sekian dahulu.Wassalam.

Sunday, November 7, 2010

Doa Semoga Dipertingkatkan Kefahaman

Surah Al-Anbiya (ayat 79):

بسم الله الرحمن الرحيم

فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ ۚ وَكُلًّا آتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَسَخَّرْنَا مَعَ دَاوُودَ الْجِبَالَ يُسَبِّحْنَ وَالطَّيْرَ ۚ وَكُنَّا فَاعِلِينَ

Maksudnya:
Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak) dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.

Doa ini dipelajari sewaktu menonton rancangan Usrah di TV9 yang disampaikan oleh Ustazah Dato' Dr Fatma El Zahraa. Beliau mengesyorkan agar dibacakan doa ini dan dihembuskan ke ubun-ubun atau dada anak dengan harapan Allah mempermudahkan anak kita memahami ilmu yang dipelajari.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kita bersama dan Allah memakbulkan doa kita ini.

Friday, October 29, 2010

Hobi Baru ... 'Crochet'

Disebabkan lama tidak dapat melayari internet, tiba-tiba terasa teringin pula untuk membuat sesuatu untuk bakal orang baru. Semasa di Port Dickson saya telah mencuba crochet but bayi. Sebenarnya saya ni keras tangan tapi cuba-cubalah juga walaupun tidak berapa kemas buatannya. Tidak disangka susah juga hendak mencari barang-barang untuk membuat crochet. Jarum kait yang paling besar yang dapat dibeli hanya bersaiz 1.75 mm yang tidak berapa sesuai untuk benang kait bersaiz besar. Benang kait pula hanya terdapat daripada jenis acrylic di mana tidak berapa sesuai pula untuk pakaian bayi, benang kapas paling baik. Tapi nak buat macam mana, guna sahaja apa yang ada janji tidak membazir masa.

Hasil kerja tangan pertama - but bayi:



Anak perempuanku pula minta mama kaitkan selimut untuknya.Warna untuk selimut ini dia yang pilih sendiri. Dia hendak belajar mengait semasa cuti sekolah nanti. Inilah selimut yang masih lagi dalam proses pembuatan:



Disebabkan susah hendak mendapat jarum kait yang sesuai dan benang kait daripada kapas, saya telah terjumpa laman ini untuk memesan barangan yang diperlukan untuk mengait:
http://www.cottonhousestore.com/

Kepada sesiapa yang berminat untuk belajar crochet, silalah lawati laman ini:
http://kaitmengait.blogspot.com/
http://knitwitch.com/crochet videos.htm
You Tube video by mikeyssmail pun amat mudah diikuti.

Selamat mencuba! Semoga berjaya menambah ilmu baru.

Thursday, October 28, 2010

Kedai Makan Di Port Dickson

Lamanya tidak menjengah blog ini, sudah hampir dua minggu. Terasa jari-jemari sudah semakin keras untuk menaip. Lama menghilang kerana mengikuti suami yang bertugas di Port Dickson. Kami sekeluarga telah ditempatkan oleh syarikat suamiku di Hotel Avillion Admiral Cove. Sepanjang berada di sana, talian internet hotel mengalami masalah manakala talian jalur lebar juga tidak berapa stabil mungkin kerana lokasi hotel yang terletak di hujung teluk. Maka sunyilah duniaku tanpa khabar dari internet. Untuk mengurangkan kebosanan aku telah memulakan satu hobi baru (akan diceritakan di entri selepas ini).

Disebabkan tiada kemudahan memasak di penginapan kami, maka kami akan menghabiskan masa meronda-ronda bandar Port Dickson untuk mengisi perut yang sentiasa berkeroncong. Amat sukar mencari kedai makan yang memenuhi selera kami di sini. Jika berkunjung ke Port Dickson, saya mengesyorkan dua restoran ini yang berjaya memikat citarasa saya. Selain menyajikan makanan yang enak dan pelbagai jenis, harganya juga berpatutan, servisnya pun cekap dan kedai yang bersih.

Tempat pertama: Nasreen Seafood (Songkhla)
Walaupun masa kami datang pihak tentera tengah mengadakan majlis perpisahan untuk staffnya (book separuh restoran), servis masih cekap dan pantas.
 
Tempat kedua: Restoran Jimat

Keduanya terletak berhampiran antara satu sama lain, di kawasan Batu 8, Jalan Pantai, Teluk Kemang.

Untuk makan tengah hari pula, jika berminat kari kepala ikan, Restoran Kari Kepala Ikan Deen pasti akan menyebabkan saya kembali lagi ke Port Dickson. Restoran ini terletak di tengah bandar Port Dickson di bawah pokok besar.

Semoga perkongsian ini memudahkan pencarian restoran di Port Dickson. Tidaklah seperti kami yang banyak kali juga terkecewa di kedai makan walaupun saya sebenarnya tidak berapa cerewet bab makan ni.

Friday, October 15, 2010

Doa Semoga Orang Berasa Kasih Pada Zuriat Kita

Doa ini saya pelajari ketika  mendengar kuliah pagi di siaran radio KLFM  beberapa tahun yang lalu. Penceramahnya ialah Ustaz Wan Sohor Bani Leman. Menurut beliau, doa ini dipohon oleh Nabi Ibrahim a.s. ketika hendak meninggalkan Siti Hajar dan anaknya  Nabi Ismail a.s. di Makkah. Pada awalnya, hanya Siti Hajar dan anaknya sahaja berada di situ, tetapi setelah terjumpanya telaga zam-zam, kabilah-kabilah Arab pun mula datang. Walaupun hanya seorang perempuan dan anak kecil, tiada di kalangan ahli kabilah yang hendak merampas telaga tersebut daripada mereka.

Apabila kita hendak meninggalkan zuriat kita, umpamanya di sekolah atau di rumah penjaga dan di mana-mana sahaja, bacalah doa ini. Mudah-mudahan dengan mengamalkan doa ini, orang akan berasa lapang dan kasih pada zuriat kita dan tidak timbul perasaan hasad dengki.

Surah Ibrahim, ayat 37:
 


Maksudnya:

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Semoga Allah makbulkan doa kita dan mempermudahkan kehidupan zuriat keturunan kita.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kita bersama.