Assalamualaikum!

Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Thursday, April 28, 2011

Pelaburan Yang Mahal Tetapi Tidak Ternilai

Sewaktu aku mengandungkan kakak, aku berazam untuk membeli kamera video mini DV supaya dapat ku rakam langkah pertama kakak. Di zaman itu kamera video berharga dalam lingkungan RM 2500+ sebuah. Setelah mengumpul duit beberapa bulan sehinggalah kakak berumur 6 bulan barulah aku berani mengajak papa ke kedai kamera. Bukannya apa, papa seorang yang tidak suka membuat tinjauan (survey) dahulu, jika sudah ke kedai dan berbincang tentang harga harosss dibeli. Itu stail papa sejak mula ku berkahwin dengannya yang 180 darjah berbeza dengan aku. Kebetulan hari itu Panasonic sedang melancarkan model kamera video mini DV dengan keupayaan penyimpanan data dalam kad memori yang pertama di Malaysia. Aku berminat dengan model baru ini yang berwarna hitam berkilat tetapi sayang harganya RM 4000! Terlebih bajet sudah. Setelah berbincang dengan papa, kami sepakat membeli model di dalam lingkungan wang yang kami bawa iaitu sebuah Panasonic mini DV digital kamera video berwarna perak. Kalau ambil model terkini boleh sahaja tetapi terpaksa pula berhutang dengan cik Citi di mana akan melanggar prinsipku yang tidak gemar berhutang melainkan terpaksa seperti membeli kereta dan rumah.

Setelah teknologi berkembang pesat, mini DV semakin pupus. Aku menyuruh papa menukarkan semua gambar-gambar di dalam tape 8 mm itu ke CD atau DVD. Kami menghantar ke kedai tetapi hasil rakaman sangat tidak berkualiti serta harga yang dikenakan pun terlampau mahal. Projek tertangguh sehinggalah si baby lahir, dan video kamera mini DV kami telah pun rosak. Merata kami mencari untuk menukarkan gambar-gambar daripada mini DV ke DVD. Akhirnya kami berjumpa sebuah kedai di Seremban; mereka tidak menjual servis tetapi alatan. Papa kata mahal ni, tetapi bagiku kenangan manis tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Maka melaburlah kami...

Semalam kami menonton koleksi video kakak semasa kecil. Kakak tertawa dan berkata, "Adik ni macam kembar saya. Kalau umur kami rapat, orang mesti ingat mama ada anak kembar." Kakak juga sering tersasul, "Mama tengok adik tu buat muka comel," padahal itu adalah dia semasa bayi. Kami tertawa sehingga berair mata, riuh menonton video walaupun hanya kami tiga beranak. Kami juga tertawa pecah perut  melihat rakaman ibu ku yang sedang membuat aksi lucu. Ibuku seorang yang serius; balik kampung minggu ini aku hendak bertanya ibu apakah sebenarnya yang berlaku waktu itu. Di dalam hilai tawa tiba-tiba kakak berkata, "Lama dah saya tak dengar suara atuk," lantas menimbulkan kerinduan ku kepada Allahyarham abah. Semoga abah berbahagia di alam baru dan bersama sahabat para solihin. Kesimpulannya, memang berbaloi pelaburan ini.

Kepada sesiapa yang kenangan terindahnya masih tersimpan di dalam mini DV dan ingin menukarkan ke dalam DVD bolehlah hubungi suami saya di mzuhaimi@gmail.com .

Friday, April 1, 2011

Determined Baby

Alhamdulillah si baby telah berumur 4 bulan dan si kakak insyaAllah akan genap 9 tahun esok. Kali ini berkisah tentang si baby 4 bulan kami. Sewaktu balik ke kampung Ahad lepas, wan telah komplen pasal kepala cucunya, si baby, yang lonjong dan peheng akibat suka tidur kepala memaling ke kanan. Apabila balik ke rumah malam itu, aku sendalkan kepalanya dengan bantal bayi supaya tegak ke atas. Si baby pun menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tangannya mencuba untuk menguis bantal di sebelah kepalanya. Berjaya! Aku pun menggantikan pula dengan bantal yang lebih besar dan berat. Si baby mencuba lagi tetapi kali ini tidak berjaya. Apalagi dia pun mulalah menjerit-jerit menyuruh kami mengalihkan bantal itu. Aku pujuk, dia diam sebentar kemudian menangis semula. Dia tidak kenal erti putus asa, menyebabkan kami sukar untuk melelapkan mata. Akhirnya aku yang tewas, ku alihkan bantal tersebut dan barulah seisi rumah boleh tidur lena.

Kelmarin aku mendapat idea, disebabkan waktu malam si baby menyusu baring, aku mengesyorkan agar aku bertukar tempat tidur dengan papa. Malam itu aku tidur di sebelah kiri si baby dan papa di sebelah kanannya. Jika dia hendak menyusu dia harus mengiring ke kiri. Pada pukul 1:44 am si baby berbunyi mengejutkan aku untuk menyusukannya. Dia mengiring ke kanan dan aku menariknya dan memberitahu mama di sini. Dia pun membuka matanya besar. Dia mengiring ke arah ku kemudian mengiring semula mengadap papa. "Ha hei heiya hei hei jeghei ...., " dia bercakap dengan papa yang sedang nyenyak tidur sambil tangannya menepuk-nepuk muka papa. Lantas ku kejutkan papa, "Bang, bangun. Entah apa dia nak dengan you." Papa bingkas bangun dan melayan si baby bersembang. Mula-mula o.k., kemudian si baby mula meninggikan suaranya sebab papa tidak faham dan mulalah dia merengek hendak menangis. Dia memusing-musingkan badannya. Aku tariknya untuk menyusu dia tidak mahu. "Dia nak dukung kot," kataku. Papa mendukungnya tetapi dia menangis dan melonjak-lonjak. "Dia tak nak dukung," kata papa lantas meletakkan si baby kembali ke atas tilam. Si baby merengek-rengek sambil memusing-musingkan badannya. "Agaknya dia suruh I tukar tempat dengan you kot," papa memberi cadangan. Aku pun mengambil bantalku dan duduk di sebelah sana katil. "Aha ha hum," kata si baby dengan girang. Dia pun terus ke posisi kegemaran menyusunya iaitu mengiring ke kanan dan membuka mulutnya bak muncung anak burung. Aku pun baring dan menyusukannya. Aku dan papa tersengih dan menggelengkan kepala. "Very determine betul budak ni," kataku. Barulah kami dapat tidur lena sehingga jam 5 pagi apabila Naruto mula menjerit (bunyi alarm handphone papa) dan si baby pun terjaga semula hendak menyusu lagi.

Nampaknya kami tewas lagi. Mudah-mudahan apabila si baby sudah mula mobile dan melasak, kepalanya akan membulat cantik insyaAllah.

Friday, March 18, 2011

Doa Ingin Memperolehi Anak Lelaki

Bismillah...
Sewaktu aku mengandung anak pertama kami, suamiku  telah membeli sebuah buku bertajuk Amalan Ketika Mengandung & Setelah Bersalin Serta Panduan Menamakan Bayi yang disusun oleh Abu Afiqah keluaran Darul Nu'man. Di antara kandungannya yang menarik perhatianku ialah doa ingin memperolehi anak lelaki. Disebabkan aku teringinkan bayi perempuan ketika itu, aku tidak mengendahkan doa tersebut. Alhamdulillah setelah 7 tahun perkahwinan kami, kami telah diserikan dengan kehadiran kakak. Setelah kakak berusia 8 tahun, syukur ya Allah kerana telah memberiku peluang untuk hamil sekali lagi. Memandangkan usiaku yang akan memasuki ke siri 40 tidak lama lagi dan berkemungkinan juga bayi yang lahir ini bakal menjadi anak bongsu kami, aku mengharapkan kehadiran bayi lelaki. Lantas aku teringat doa yang terdapat di dalam buku tadi. Aku mengamalkannya setelah disahkan mengandung sewaktu usia kandunganku memasuki usia 10 - 12 minggu. Alhamdulillah, segala puji-pujian serta kesyukuran kepada Mu ya Allah yang telah sudi menerima doaku dengan mengurniakan keluarga kami seorang cahayamata yang dapat kuberikan nama bersempena nama kekasihMu Muhammad Rasulullah s.a.w.. Kami berharap padaMu ya Allah agar diberi bimbingan mendidik anak-anak kami agar mereka dapat menuruti/ memiliki akhlak kekasihMu juga kekasih kami Muhammad Rasullullah s.a.w.. Berikut adalah doa yang telah ku amalkan. Kita hanya berusaha, Allah yang menentukan yang terbaik untuk kita.

Bismillahirrahmanirrahim







Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya kami akan memberi nama anak yang berada di perut isteri kami dengan nama Muhammad (s.a.w.), maka jadikanlah dia untuk kami seorang anak laki-laki dengan hak orang yang mempunyai nama yang mulia ini yakni Muhammad s.a.w..

(Doa ini dibaca sebanyak 3 kali dengan meletakkan tangan diperut isteri yang sudah hamil 2 atau 3 bulan)

Aku buat sendiri je, tukar perut isteri kepada perutku...cik abe sibuk masa pregnant kali ni he he ...
 

Friday, March 11, 2011

Kenapa Papa Sukar Mengejut Kakak Di Pagi Hari?

Bismillah...
Lama sungguh tidak berkesempatan menulis blog hingga si kakak menyuruh saya menukar tajuk blog ini kepada satu bulan satu atau dua bulan satu. Tidak mengapalah , ia hanyalah nama dan insyaAllah apabila si baby semakin besar saya akan mampu untuk berkongsi sesuatu setiap hari semula. 

Persoalan di atas selalu bermain di kotak fikiranku. Setiap kali aku meminta tolong papa mengejutkan kakak untuk bangun pagi ke sekolah mesti akan kedengaran suara bernada tinggi di pagi hari dan muka kakak yang mencuka. Ini tidak berlaku jika aku yang mengejutkan kakak daripada tidur. Pagi tadi aku meminta tolong papa sekali lagi sambil aku memerhatikan dari belakang. Papa berkata dengan suara yang kuat, "Kakak bangun, bangun pergi sekolah nanti lambat." Kakak tidak bergerak daripada tidurnya, mulalah papa menggunakan suara yang lebih lantang. Lantas ku berkata, "Usiklah badannya, goyang-goyangkan ke." Papa menurut sarananku dan mengulangi semula ayatnya tadi dengan suara lantang. Kakak pun bangun dengan muka mencuka.

Kebetulan pagi tadi di slot motivasi pagi radio IKIM, penceramah telah bercerita tentang gaya-gaya pembelajaran (learning styles). Kadang-kadang kita berasa kecewa (frust) apabila kita bercakap dengan seseorang seperti bercakap dengan dinding. Ini disebabkan kita menggunakan teknik berkomunikasi yang salah terhadap mereka. Terdapat 3 gaya pembelajaran (learning styles) iaitu visual (penglihatan), auditory (pendengaran) dan kinesthetic (sentuhan). Baru ku teringat aku pernah pelajarinya semasa kursus Train of Trainer. Menurut penceramah, kanak-kanak dan orang lelaki lebih dominan visual manakala orang tua lebih kinesthetic. Patutlah apabila kami menyuruh kakak membuat kerja sekolah, dia seperti tidak dengar apa yang kami cakap sebab dia lebih memahami jika dilakukan secara visual. Percakapan kami hanya merangsang auditory kakak sahaja dan visualnya telah dirangsang dengan isyarat yang salah oleh kami kerana sewaktu kami menyuruh kakak, kami sedang menonton televisyen. Selepas ini, kami berdua mesti memegang atau membaca buku dan baru menyuruh kakak membuat kerja sekolah. Kanak-kanak suka mengikut/ meniru apa yang dia lihat.

Berbalik kepada isu bangun pagi, papa hanya menggunakan auditory, dengan suara yang tegas dan lantang seolah-olah seperti marah serta menggunakan perkataan negatif iaitu lambat. Maka terjawablah sudah persoalanku. Kakak tidur maka kami tidak boleh merangsang visualnya dan auditorynya pula di tahap minima. Oleh itu untuk membangunkan kakak memerlukan sentuhan (kinesthetic) dan ucapan yang lembut serta positif. Aku biasanya mengejut kakak dengan menepuk-nepuk dan mengusap kakak sambil mengucapkan sayang dan menyuruhnya bangun cepat supaya pergi sekolah awal dan mengejar subuh. Mungkin papa boleh cuba semula esok ye! Sekarang baru ku tahu juga kenapa sekarang aku tidak mengantuk dan mudah faham ketika mendengar ceramah berbanding sewaktu ku di zaman persekolahan dahulu. Aku telah beransur-ansur berubah kepada auditory semakin usia menginjak dan pertukaran status kepada ibu. Untuk ibuku, maaf jika selama ini ibu mendengar bebelanku untuk ke klinik, makan ubat dan makan. Rupanya ibu memerlukan sentuhan, pegangan tangan untuk memujuk ke klinik, unjukan atau suapan untuk makan ubat dan pimpinan tangan serta teman untuk makan. Adik-adikku, kita selama ini yang salah dan semoga  selepas ini kita akan cuba menjadi yang lebih baik. Papa jom kita gunakan teknik komunikasi yang positif dan letakkan yang sepatutnya di tempatnya. Anak-anakku apabila mama dan papa mu telah berumur, ingatlah kami juga memerlukan sentuhan kamu berdua semasa berkomunikasi.

Semoga kita bersama-sama berusaha dan berjaya berkomunikasi secara positif dan menggunakan style yang betul supaya kita tidak lagi bercakap kepada dinding yang hanya akan memenatkan diri dan berakhir dengan kekecewaan di kedua-dua belah pihak. Semoga Allah sentiasa memudahkan urusan kita di dunia dan di akhirat serta memimpin kita ke jalan yang lurus. Amin.

Saturday, January 8, 2011

Sekarang Baru Ku Tahu...

Alhamdulillah saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 29 November 2010. Syukur pada Mu ya Allah kerana dengan rahmatMu telah mengurniakan kami sepasang cahaya mata. Hari ini merupakan hari ke-40 saya berpantang, tinggal 4 hari je lagi nak merdeka... yeaaa!

Berbalik kepada topik...

  1. Sekarang baru ku tahu kenapa kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibu adalah najis mukhaffafah. Untuk makluman, adik-beradik saya kesemuanya perempuan; anak pertama saya juga perempuan. Masa saya remaja dahulu, sangat tidak berpuas hati kenapa kencing bayi lelaki sahaja, apa bezanya dengan kencing bayi perempuan. Setelah melahirkan anak lelaki ini, baru saya tahu jawapannya. Bayi lelaki kencing bersepah/ memancut tinggi. Keberangkalian najisnya berterabur ke merata tempat sangat besar. Syukur pada Mu ya Allah yang Maha Bijaksana, dengan kemudahan yang Engkau berikan memudahkan saya mencuci najis yang bersepah ini hanya dengan renjisan air.

  2. Sekarang baru ku tahu kenapa aurat sesama wanita antara pusat dan lutut, bukankah yang lagi satu pun malu jugak. Setelah lama tidak menyusukan bayi, saya amat-amat memerlukan bantuan dan tunjuk ajar. Tunjuk ajar juga diperlukan untuk menggunakan pam susu. Alhamdulillah pada Mu ya Allah yang Maha Adil dan sentiasa memudahkan hambaNya di dalam urusan dunia.

  3. Teringat semasa di Masjidil Haram ketika menunggu masuknya waktu Isyak. Melihat kebanjiran manusia pelbagai bangsa dan rupa dari seluruh pelusuk dunia menyebabkan saya bertanya pada emak di sisi, "Kenapa Allah jadikan macam-macam orang ni?" "Entah," balas emak. Lantas aku menyambung kembali membaca tafsir Al-Quran, "Ha! Cepat dah dapat jawapannya mak," kataku. Kebetulan saya berhenti pada ayat 12 surah Al-Hujraat untuk bertanya soalan sebelum menyambung kembali ayat 13 surah tersebut:

    يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

    Maksudnya:
    Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

    Sekarang baru ku tahu jawapannya. Semua bangsa mempunyai keistimewaannya. Kita patut mengambil kesempatan untuk saling mengenali. Gabungan kehebatan yang Allah kurniakan pada setiap kaum akan menjadikan masyarakat yang makmur dan ummah yang kuat.

  4. Sekarang baru ku tahu kenapa kain samping sangat penting pada lelaki Melayu dulu-dulu. Jawapannya kerana ....... Baru tahu lepas tonton salah satu filem hitam putih kalau tak salah filem P. Ramlee.
Sekian dahulu.Wassalam.