Assalamualaikum!
Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.
“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.
Wednesday, June 15, 2011
Marah Umpama Dapur...
Ku tertarik dengan ungkapan yang diucapkan oleh Ustaz Pahrol (jika tidak silap telingaku mendengar) sewaktu slot Motivasi Pagi di IKIM FM pada pagi Selasa lalu. Semoga menjadi panduan kita bersama di dalam mengurus sifat marah di dalam diri kita.
"Marah itu umpama dapur di dalam hati. Jika terlalu ia akan hangus dan jika tiada ia dayus."
Sekian dahulu. Wassalam.
Friday, June 10, 2011
Tetamu Agung Sudah Hampir Tiba
Alhamdulillah kita sudah pun selamat memasuki bulan Rejab dan ini menandakan kehadiran tetamu agung, Ramadhan Al Mubarak, sudah semakin hampir. Bulan ini merupakan bulan yang sibuk bagiku - menghias rumah, menyediakan pakaian raya dan mempersiapkan diriku serta anak-anakku (warm up/ rehearsal) untuk menyambut kedatangan tetamu agung. Saban tahun aku akan turut memastikan segala persiapan raya selesai pada bulan ini supaya apabila pesta ibadat bermula kami tidak mempersia-siakan waktu singkat itu untuk mengemas rumah dan membeli-belah. Tahun ini agak mencabar bagiku kerana perlu berpuasa sambil menyusukan si baby sepenuh masa. Ya Allah cukupkanlah susuku untuk anakku, berikanlah ku kekuatan untuk berpuasa dan permudahkanlah segala urusanku. Amin.
Marilah kita berdoa dengan doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a. daripada Rasulullah s.a.w.:

Sumber dari http://impiutm.blogspot.com
Semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan rahmat Allah s.w.t. di dalam bulan-bulan yang mulia ini, dan diizinkanNya bertemu dengan penghulu segala bulan serta berjaya merebut bonus sebanyak mungkin. Amin.
Sekian dahulu, wassalam.
Wednesday, June 1, 2011
Jalan-jalan Taman Negara Pahang
Bersempena mood cuti sekolah, ku ingin berkongsi tempat-tempat yang pernah kami sekeluarga kunjungi semoga dapat mencetus idea memilih destinasi dan menjadi panduan kita bersama.
Acapkali ku usul lawatan ke Taman Negara Pahang mesti ditolak oleh papa kerana perjalanan menaiki bot kecil yang memakan masa lebih kurang 3 jam dari Kuala Tembeling dan harga pakej yang dipromosikan agak mahal. Setelah ku selidiki bahawa boleh berkereta ke Kuala Tahan dan tidak perlu booking pakej maka akhirnya pada cuti sekolah Mac 2010 kami telah berjaya menjejakkan kaki di Taman Negara.
Bila melancong bersama anak kecil terutama ke tempat terpencil ini, bekalan wajibku ialah ubat demam, jangkasuhu, Kool Fever dan peti pertolongan cemas perlu dibawa. Aku turut membeli mosquito patch (alhamdulillah masa kami pergi tiada nyamuk dan pacat), air mineral 500ml satu kotak (sudah pasti air mineral kegemaranku yang punca mata airnya dari Kampung Sompo), roti bun Gardenia, Twiggies, coklat (sebagai bekalan tenaga segera), lampu suluh seorang satu dan semestinya kameraku.
Selepas menjamu selera, kami ke pondok Tourist Information dan di situ kami memborong pakej aktiviti di Taman Negara untuk mengisi tiga hari kami di sini, kecuali Canopy Walk kerana kami hendak pergi sendiri tanpa mengupah pemandu pelancong. Bayaran yang dikenakan bergantung kepada aktiviti yang dipilih dan harga terendah ialah dari RM15 seorang. Disebabkan kami memborong 4 aktiviti iaitu melawat perkampungan orang asli, night jungle walk, Lata Berkoh serta Kelah Sanctuary, dan rapid shooting maka dapatlah diskaun sedikit. Kebanyakan aktiviti bermula dari jam 9 pagi dan 3 petang kecuali aktiviti malam yang bermula dari jam 8:30 pm.
Dari Kuala Tahan ke Taman Negara, kami perlu menyeberangi sungai Tembeling dengan menaiki bot kecil yang di ambil dari kedai makan di situ dengan bayaran RM1 hala pergi manakala hala balik adalah percuma. Setiap pengunjung perlu mengambil permit di Jabatan Perhilitan di sini untuk masuk ke Taman Negara. Bayaran dikenakan adalah RM1 seorang dan RM5 untuk kamera.
Kesimpulannya kami sangat enjoy berada di sini terutama kakak walaupun banyak aktiviti fizikal dan memerlukan stamina yang tinggi. Kagumku melihat kakak begitu bersemangat dan mampu jungle trekking sehingga 5 km sehari dan memanjat anak-anak tangga sehingga ke kaki titian kanopi. Kakak juga sangat berani menyeberangi titian yang tinggi dan bergoyang-goyang. Keseronokan menaiki bot, rapid shooting, mandi di sungai Tahan dan sungai Tembeling, menghirup udara segar hutan waktu dinihari serta menyaksikan langit malam yang sarat dengan bintang bergemerlapan menyebabkan hati kami rindu melonjak-lonjak ingin kembali. Nampaknya perlulah bersabar sehingga baby boleh berlari.
Sekian dulu, wassalam.
Monday, May 30, 2011
Cuti Sekolah Penggal Satu 2011
Thursday, April 28, 2011
Pelaburan Yang Mahal Tetapi Tidak Ternilai
Setelah teknologi berkembang pesat, mini DV semakin pupus. Aku menyuruh papa menukarkan semua gambar-gambar di dalam tape 8 mm itu ke CD atau DVD. Kami menghantar ke kedai tetapi hasil rakaman sangat tidak berkualiti serta harga yang dikenakan pun terlampau mahal. Projek tertangguh sehinggalah si baby lahir, dan video kamera mini DV kami telah pun rosak. Merata kami mencari untuk menukarkan gambar-gambar daripada mini DV ke DVD. Akhirnya kami berjumpa sebuah kedai di Seremban; mereka tidak menjual servis tetapi alatan. Papa kata mahal ni, tetapi bagiku kenangan manis tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Maka melaburlah kami...
Semalam kami menonton koleksi video kakak semasa kecil. Kakak tertawa dan berkata, "Adik ni macam kembar saya. Kalau umur kami rapat, orang mesti ingat mama ada anak kembar." Kakak juga sering tersasul, "Mama tengok adik tu buat muka comel," padahal itu adalah dia semasa bayi. Kami tertawa sehingga berair mata, riuh menonton video walaupun hanya kami tiga beranak. Kami juga tertawa pecah perut melihat rakaman ibu ku yang sedang membuat aksi lucu. Ibuku seorang yang serius; balik kampung minggu ini aku hendak bertanya ibu apakah sebenarnya yang berlaku waktu itu. Di dalam hilai tawa tiba-tiba kakak berkata, "Lama dah saya tak dengar suara atuk," lantas menimbulkan kerinduan ku kepada Allahyarham abah. Semoga abah berbahagia di alam baru dan bersama sahabat para solihin. Kesimpulannya, memang berbaloi pelaburan ini.
Kepada sesiapa yang kenangan terindahnya masih tersimpan di dalam mini DV dan ingin menukarkan ke dalam DVD bolehlah hubungi suami saya di mzuhaimi@gmail.com .











