Assalamualaikum!

Assalamualaikum!
Satu Hari Satu ... merupakan tempat saya berkongsi ilmu, cerita, pengalaman, cetusan hati dan pandangan peribadi. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga Allah kurniakan saya istiqamah di dalam perkongsian ini. Saya pohon kemaafan jika ada kesilapan, tersinggung perasaan dan percanggahan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini.

“Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Wednesday, June 15, 2011

Marah Umpama Dapur...

Bismillah.
Ku tertarik dengan ungkapan yang diucapkan oleh Ustaz Pahrol (jika tidak silap telingaku mendengar) sewaktu slot Motivasi Pagi di IKIM FM pada pagi Selasa lalu. Semoga menjadi panduan kita bersama di dalam mengurus sifat marah di dalam diri kita.

"Marah itu umpama dapur di dalam hati. Jika terlalu ia akan hangus dan jika tiada ia dayus."

Sekian dahulu. Wassalam.

Friday, June 10, 2011

Tetamu Agung Sudah Hampir Tiba

Bismillah.
Alhamdulillah kita sudah pun selamat memasuki bulan Rejab dan ini menandakan kehadiran tetamu agung, Ramadhan Al Mubarak, sudah semakin hampir. Bulan ini merupakan bulan yang sibuk bagiku - menghias rumah, menyediakan pakaian raya dan mempersiapkan diriku serta anak-anakku (warm up/ rehearsal) untuk menyambut kedatangan tetamu agung. Saban tahun aku akan turut memastikan segala persiapan raya selesai pada bulan ini supaya apabila pesta ibadat bermula kami tidak mempersia-siakan waktu singkat itu untuk mengemas rumah dan membeli-belah. Tahun ini agak mencabar bagiku kerana perlu berpuasa sambil menyusukan si baby sepenuh masa. Ya Allah cukupkanlah susuku untuk anakku, berikanlah ku kekuatan untuk berpuasa dan permudahkanlah segala urusanku. Amin.

Marilah kita berdoa dengan doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a. daripada Rasulullah s.a.w.:

doa+rejab.JPG.jpg


Sumber dari http://impiutm.blogspot.com

Semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan rahmat Allah s.w.t. di dalam bulan-bulan yang mulia ini, dan diizinkanNya bertemu dengan penghulu segala bulan serta berjaya merebut bonus sebanyak mungkin. Amin.

Sekian dahulu, wassalam.

Wednesday, June 1, 2011

Jalan-jalan Taman Negara Pahang

Bismillah.
Bersempena mood cuti sekolah, ku ingin berkongsi tempat-tempat yang pernah kami sekeluarga kunjungi semoga dapat mencetus idea memilih destinasi dan menjadi panduan kita bersama. 

Acapkali ku usul lawatan ke Taman Negara Pahang mesti ditolak oleh papa kerana perjalanan menaiki bot kecil yang memakan masa lebih kurang 3 jam dari Kuala Tembeling dan harga pakej yang dipromosikan agak mahal. Setelah ku selidiki bahawa boleh berkereta ke Kuala Tahan dan tidak perlu booking pakej maka akhirnya pada cuti sekolah Mac 2010 kami telah berjaya menjejakkan kaki di Taman Negara.

Bila melancong bersama anak kecil terutama ke tempat terpencil ini, bekalan wajibku ialah ubat demam, jangkasuhu, Kool Fever dan peti pertolongan cemas perlu dibawa. Aku turut membeli mosquito patch (alhamdulillah masa kami pergi tiada nyamuk dan pacat), air mineral 500ml satu kotak (sudah pasti air mineral kegemaranku yang punca mata airnya dari Kampung Sompo), roti bun Gardenia, Twiggies, coklat (sebagai bekalan tenaga segera), lampu suluh seorang satu dan semestinya kameraku. 

Di dalam perjalanan kami singgah sebentar di Jerantut, bandar terakhir sebelum ke Taman Negara, untuk mengisi minyak kereta dan membeli kudapan. Kami tiba di destinasi lebih kurang jam 1 petang. Kami menginap di Rainforest Resort yang terletak di Kampung Kuala Tahan. Tempatnya bersih dan selesa serta harga biliknya masih di dalam lingkungan bajet kami iaitu sebanyak RM158nett satu malam termasuk sarapan pagi untuk dua orang. Harga tersebut adalah untuk sebuah bilik superior yang mengandungi 1 katil queen dan 1 katil single, cukup untuk memuatkan papa, aku, kakak dan adikku yang bongsu dengan selesa. Cuma resort ini terletak beberapa ratus meter jauh sedikit dari jeti Kuala Tahan. Boleh menaiki kereta ke jeti tetapi kakak lebih suka berjalan kaki sambil meninjau kawasan kampung. Setelah selesai urusan check in kami terus menuju ke kawasan jeti untuk mengisi perut yang berkeroncong. Makan di atas gerai terapung yang dibuai arus sungai Tembeling sambil muka dibelai bayu sungguh menyelerakan. Harga makanan amat berpatutan dan jangan lupa mencuba masakan ikan sungai yang enak.

Selepas menjamu selera, kami ke pondok Tourist Information dan di situ kami memborong pakej aktiviti di Taman Negara untuk mengisi tiga hari kami di sini, kecuali Canopy Walk kerana kami hendak pergi sendiri tanpa mengupah pemandu pelancong. Bayaran yang dikenakan bergantung kepada aktiviti yang dipilih dan harga terendah ialah dari RM15 seorang. Disebabkan kami memborong 4 aktiviti iaitu melawat perkampungan orang asli, night jungle walk, Lata Berkoh serta Kelah Sanctuary, dan rapid shooting maka dapatlah diskaun sedikit. Kebanyakan aktiviti bermula dari jam 9 pagi dan 3 petang kecuali aktiviti malam yang bermula dari jam 8:30 pm.

Dari Kuala Tahan ke Taman Negara, kami perlu menyeberangi sungai Tembeling dengan menaiki bot kecil yang di ambil dari kedai makan di situ dengan bayaran RM1 hala pergi manakala hala balik adalah percuma. Setiap pengunjung perlu mengambil permit di Jabatan Perhilitan di sini untuk masuk ke Taman Negara. Bayaran dikenakan adalah RM1 seorang dan RM5 untuk kamera.

Kesimpulannya kami sangat enjoy berada di sini terutama kakak walaupun banyak aktiviti fizikal dan memerlukan stamina yang tinggi. Kagumku melihat kakak begitu bersemangat dan mampu jungle trekking sehingga 5 km sehari dan memanjat anak-anak tangga sehingga ke kaki titian kanopi. Kakak juga sangat berani menyeberangi titian yang tinggi dan bergoyang-goyang. Keseronokan menaiki bot, rapid shooting, mandi di sungai Tahan dan sungai Tembeling, menghirup udara segar hutan waktu dinihari serta menyaksikan langit malam yang sarat dengan bintang bergemerlapan menyebabkan hati kami rindu melonjak-lonjak ingin kembali. Nampaknya perlulah bersabar sehingga baby boleh berlari.

Peta Taman Negara Pahang dari://www.endemicguides.com/MAP/Kuala_Tahan.htm 


Rainforest Resort.



















Senarai aktiviti yang terdapat di sini.












Kuala Tahan.


Pengangkutan utama di sini.


Lawatan ke perkampungan orang asli kaum Bateq.

Kakak begitu seronok berjalan di malam gelap dari hotel menuju ke jeti untuk aktiviti night jungle walk. Sesuatu yang di luar kebiasaan - mengatur langkah di malam yang gelap, mendengar irama hutan serta menyaksikan serangga dan haiwan kecil yang aktif di waktu malam. Ketika berhenti di Bumbun Tahan seram juga melihat mata-mata bersinar bila disuluh tetapi kurang jelas jenis haiwan yang berselindung.















Jungle trekking ke Titian Kanopi. Boleh juga manaiki bot sehingga ke jeti kanopi tetapi masih perlu mendaki anak-anak tangga sehingga ke tapak pendaftaran.


Menyusuri Sungai Tahan ke Lata Berkoh yang menyajikan pemandangan yang amat menenangkan dan menakjubkan. Subhanallah! 


Untuk ke Lata Berkoh perlu trekking lagi dalam 700m. Laluan agak mencabar dan perlu berhati-hati memanjat dan menuruni bongkah batu. Sepanjang laluan bingit telinga mendengar suara reriang. Air Lata Berkoh sangat sejuk dan deras. Ada bahagian yang sangat dalam serta dipenuhi batu-batu licin. Bagiku tidak sesuai untuk anak-anak kecil. Kami mandi di belakang lata di kawasan air yang agak tenang. Alhamdulillah semuanya selamat.


Tidak perlu risau bila perut sudah menyanyi, terdapat beberapa kedai makan terapung di sini. Menu masakan barat pun boleh didapati. Lihat gerai satay pun ada.


Rapid shooting sangat mengujakan dan memang akan basah lenjun. Setelah itu kami dibawa untuk mandi-manda di sungai yang kecil berair jernih berhampiran Nusa Camp. Kemudian kami meminta pula untuk mandi di Sungai Tembeling di kawasan berhampiran orang asli yang kami tengok tempoh hari. Mandi di Sungai Tembeling lebih seronok dan puas. Sungainya dalam seakan berombak sesuatu yang jarang dapat dirasai di kawasan perkelahan sekitar K.L. 


Semoga bertemu kembali!


Sekian dulu, wassalam.

Monday, May 30, 2011

Cuti Sekolah Penggal Satu 2011

Bermulalah sudah cuti persekolahan penggal pertama tahun ini. Kebiasaannya aku akan sibuk mengatur percutian keluargaku tetapi kali ini papa dikehendaki bertugas di Port Dickson sepanjang cuti persekolahan ini. Maka seperti biasa kami akan menginap di hotel yang telah disediakan oleh syarikat papa bekerja iaitu Avillion Admiral Cove. Alhamdulillah hotel ini amat digemari oleh kami sekeluarga dan harganya pun berpatutan (corporate atau government rate). Terdapat dua pilihan bilik untuk kami di sini iaitu bilik superior dan bilik deluxe. Aku lebih menggemari bilik deluxe kerana susun atur yang lapang, selesa untuk anak-anakku bermain. Kakak pula sukakan hotel ini kerana mempunyai kolam renang yang luas serta pelbagai peringkat kedalaman untuk kanak-kanak. Kakak juga seronok bermain dengan arnab di pet farm, meneroka kawasan persekitaran hotel yang luas, bermain di tepi pantai dan menonton kapal layar yang mewah di marina. Kami bercuti tetapi kasihan papa pula bekerja. Terima kasih papa kerana sudi membawa kami bersama ke sini. Selamat bekerja papa dan bekerjalah dengan penuh ikhlas!

Selamat bercuti semua! Sentiasalah berhati-hati dan sabar di dalam perjalanan. Semoga kembalinya daripada bercuti kita semua akan lebih bersemangat untuk belajar dan bekerja, insyaAllah.

Sekian dahulu, wassalam.






Thursday, April 28, 2011

Pelaburan Yang Mahal Tetapi Tidak Ternilai

Sewaktu aku mengandungkan kakak, aku berazam untuk membeli kamera video mini DV supaya dapat ku rakam langkah pertama kakak. Di zaman itu kamera video berharga dalam lingkungan RM 2500+ sebuah. Setelah mengumpul duit beberapa bulan sehinggalah kakak berumur 6 bulan barulah aku berani mengajak papa ke kedai kamera. Bukannya apa, papa seorang yang tidak suka membuat tinjauan (survey) dahulu, jika sudah ke kedai dan berbincang tentang harga harosss dibeli. Itu stail papa sejak mula ku berkahwin dengannya yang 180 darjah berbeza dengan aku. Kebetulan hari itu Panasonic sedang melancarkan model kamera video mini DV dengan keupayaan penyimpanan data dalam kad memori yang pertama di Malaysia. Aku berminat dengan model baru ini yang berwarna hitam berkilat tetapi sayang harganya RM 4000! Terlebih bajet sudah. Setelah berbincang dengan papa, kami sepakat membeli model di dalam lingkungan wang yang kami bawa iaitu sebuah Panasonic mini DV digital kamera video berwarna perak. Kalau ambil model terkini boleh sahaja tetapi terpaksa pula berhutang dengan cik Citi di mana akan melanggar prinsipku yang tidak gemar berhutang melainkan terpaksa seperti membeli kereta dan rumah.

Setelah teknologi berkembang pesat, mini DV semakin pupus. Aku menyuruh papa menukarkan semua gambar-gambar di dalam tape 8 mm itu ke CD atau DVD. Kami menghantar ke kedai tetapi hasil rakaman sangat tidak berkualiti serta harga yang dikenakan pun terlampau mahal. Projek tertangguh sehinggalah si baby lahir, dan video kamera mini DV kami telah pun rosak. Merata kami mencari untuk menukarkan gambar-gambar daripada mini DV ke DVD. Akhirnya kami berjumpa sebuah kedai di Seremban; mereka tidak menjual servis tetapi alatan. Papa kata mahal ni, tetapi bagiku kenangan manis tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Maka melaburlah kami...

Semalam kami menonton koleksi video kakak semasa kecil. Kakak tertawa dan berkata, "Adik ni macam kembar saya. Kalau umur kami rapat, orang mesti ingat mama ada anak kembar." Kakak juga sering tersasul, "Mama tengok adik tu buat muka comel," padahal itu adalah dia semasa bayi. Kami tertawa sehingga berair mata, riuh menonton video walaupun hanya kami tiga beranak. Kami juga tertawa pecah perut  melihat rakaman ibu ku yang sedang membuat aksi lucu. Ibuku seorang yang serius; balik kampung minggu ini aku hendak bertanya ibu apakah sebenarnya yang berlaku waktu itu. Di dalam hilai tawa tiba-tiba kakak berkata, "Lama dah saya tak dengar suara atuk," lantas menimbulkan kerinduan ku kepada Allahyarham abah. Semoga abah berbahagia di alam baru dan bersama sahabat para solihin. Kesimpulannya, memang berbaloi pelaburan ini.

Kepada sesiapa yang kenangan terindahnya masih tersimpan di dalam mini DV dan ingin menukarkan ke dalam DVD bolehlah hubungi suami saya di mzuhaimi@gmail.com .